Friday, November 14, 2008

Ibadah Korban

Firman Allah (SWT) SWT yang bermaksud,

Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah (SWT), tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu.” (Surah al-Hajj ayat 37)

korbanlembu.JPG



TUNTUTAN AGAMA: Kelebihan melakukan korban dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang dikorbankan.

Amalan bersedekah pupuk suasana harmoni, kasih sayang sesama umat

HARI Raya Haji dikenali juga sebagai Hari Raya Korban dan ia adalah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijjah mengikut takwim Hijrah.

Hari raya ini juga dinamakan Hari Raya Haji kerana pada saat ini, jutaan umat Islam datang dari seluruh pelosok dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima dan sebagai menyahut seruan Allah (SWT) SWT.

Allah (SWT) SWT berfirman yang bermaksud,

“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah (SWT).” (Surah al-Baqarah ayat 196).

Pada hari ini, umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim yang mengorbankan anaknya, Nabi Ismail demi kepatuhan dan ketaatan baginda terhadap perintah Allah (SWT) SWT.

Di samping itu melalui peristiwa ini jelas membayangkan betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga.

Ibadat ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dan kedekut dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang fakir dan miskin.

Dari segi kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah (SWT) SWT dalam melakukan ibadat ini ialah mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah (SWT) SWT, dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan binatang ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat manakala bulu binatang yang dikorbankan itu juga adalah satu kebajikan.

Kelebihan ibadat korban dari aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan pula ialah dapat mewujudkan suasana harmoni, kerjasama dan kasih sayang sesama Muslim, melahirkan sikap penyayang dan memupuk sifat suka berkorban dan bersedekah.

Namun, seperkara yang patut diberikan perhatian di dalam melakukan ibadat korban ialah agar ia dibuat di atas dasar keikhlasan dan mengharapkan keredaan Allah (SWT) SWT semata-mata dan bukan sebagai jalan untuk bermegah-megah dengan kekayaan yang ada.

Sesungguhnya Allah (SWT) SWT hanya akan menerima amalan seseorang itu mengikut tahap keikhlasan dan juga ketakwaannya, bukan kepada besar atau kecilnya binatang yang dikorbankan itu.

Firman Allah (SWT) SWT yang bermaksud,

“Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah (SWT), tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa dari kamu.” (Surah al-Hajj ayat 37)

Menyedari akan kelebihan ibadat korban itu, maka kita seharusnya berlumba-lumba dan segera di dalam melakukannya untuk mendapat keampunan dan keredaan daripada-Nya, di samping memperbetulkan niat agar segala amalan kita diterima oleh Allah (SWT) SWT demi kebahagiaan di akhirat nanti.


Monday, November 10, 2008

Hakikat Kehidupan

HIDUP yang sementara ini, selayaknya diharungi dalam konteks yang tuntas dan berpaksi ajaran Islam dalam membina kehidupan sejahtera dan mendapat keredaan Allah (SWT). Orang bijaksana, bukan terlalu bersandarkan ilmu dunia semata-mata.

Sebaliknya, diseiringkan dengan ajaran wahyu atau agama tanpa sangsi kerana pasti kita menginginkan kehidupan tenang dan selesa. Semua itu boleh dicapai asal saja kita berusaha mencari dengan cara diizinkan agama. Ketenangan dan keselesaan hanya dapat dinikmati dengan mendekatkan diri kepada Allah (SWT) serta memperbanyakkan amalan baik.

Kehidupan ini begitu menakjubkan bagi mereka yang mahu memikirkannya. Allah (SWT) menjadikan kehidupan untuk dimanfaatkan sebaik mungkin. Namun semua itu bergantung kepada kehendak serta usaha kerana kehidupan terhampar depan mata bukan untuk dipandang sepi sebaliknya direncanakan bagi mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, selayaknya kita menjadi hamba bijaksana mengurus kehidupan seharian. Dengan nawaitu yang tulus, kita membina kehidupan melalui usaha dan kerja yang bersungguh, tanpa mengenal erti jemu.

Tidak sukar menghadapi kehidupan dengan syarat kita bersedia menggunakan akal serta kudrat kurniaan Allah (SWT) kerana Allah (SWT) menyayangi hamba-Nya yang mahu berusaha dan tidak mensia-siakan peluang diberi. Selepas itu, manusia perlu bertawakal kepada ketentuan Allah (SWT) Yang Maha Mengetahui kerana janji Allah (SWT) adalah pasti asalkan hamba-Nya tidak pernah lupa mensyukuri nikmat diberi. Firman Allah (SWT) bermaksud: “Jika kamu bersyukur dengan kurniaanku, nescaya akan Kutambahkan rezeki Ku untukmu. Namun, jika kamu kufur, azab Ku amatlah pedih.”

Kehidupan tidak patut dipersiakan. Selagi ada upaya, cari kebaikan seperti disarankan agama. Orang yang kuat ( penguasaan ilmu dan kejayaan hidup) lebih baik daripada mereka yang lemah. Kita perlu mengubah kehidupan supaya menjadi lebih sempurna kerana hanya kita yang boleh menentukan arah tuju masa depan. Firman Allah (SWT) yang bermaksud: “Tidak akan Ku ubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu mengubahnya sendiri.”

Kesempatan yang masih ada ini, sebaiknya digunakan untuk menjadi manusia bijaksana mengurus kehidupan, selain terus berusaha dan bekerja. Umat Islam mesti mempunyai misi tuntas. Selain usaha dan gerak kerja berterusan, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran yang menjadikan Islam kuat.

Kekuatan itu bukan untuk menindas orang lain sebaliknya, meningkatkan martabat Islam dalam menyebarkan syiar dan menjelaskan keindahan agama ini kepada dunia. Kekuatan serta kejayaan membolehkan umat melakukan perubahan di bumi ini berlandaskan al-Quran dan sunnah. Islam adalah agama sempurna memberi panduan lengkap untuk manusia melalui kehidupan sempurna kerana setiap makhluk mempunyai tugas serta tanggungjawab bukan saja pada diri, juga kepada makhluk lain.

Mukmin Sejati


Mukmin Sejati Bercirikan Sifat Orang Beriman. Sebagaimana di dalam Al Quran atau Hadith, banyak diungkapkan tentang sifat dan ciri-ciri orang yang beriman di antaranya :

Ciri Pertama

Seorang mukmin sejati mempunyai iman yang teguh dan kuat, tidak mudah bergoyang atau rapuh, mempunyai cita-cita luhur yang tidak kunjung padam sentiasa mengerjakan kebaikan, selalu hidup di dalam perjuangan, menjauhkan diri daripada kejahatan, sabar di dalam menghadapi cubaan dan menunjukkan keperibadian yang baik. Dia tidak gugup dan hilang akal bila menghadapi sesuatu yang buruk, sebaliknya dia tidak lupa daratan dan hilang perseimbangan dikala memperolehi nikmat. Apabila ditimpa musibah dia bersikap sabar. Di dalam kehidupannya sentiasa terpancar ketenangan dan kedamaian. Kehidupan yang bahagia.Hal inilah yang digambarkan oleh Allah di dalam Al Quran:

"Seseiapa yang melakukan perbuatan yang baik, lelaki atau perempuan di dalam keadaan dia beriman, nescaya Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik (Tayyibah) dan Kami berikan kepadanya balasan (pahala) yang lebih beik daripada kebaikan yang mereka kerjakan."

(Surah An Nahli: 97)

Kehidupan Toyyibah yang dimaksudkan adalah tersimpul di dalamnya segala kenikmatan dan kebahagian, baik yang bersifat jasmaniah atau rohaniah, bukan sahaja di dalam kehidupan di dunia ini tetapi juga kehidupan di akhirat kelak.

Ciri Kedua

Seorang mukmin sejati ialah seorang yang sentiasa membuatkan menafaat baik untuk dirinya sendiri mahu pun terhadap orang lain. Islam telah meletakkan beberapa larangan terhadap perbuatan yang merosak dan merugikan, baik terhadap peribadi atau masyarakat. Umpamanya berzina, berjudi, minum arak dan berbagai perkara yang merosakkan diri dan masyarakat. Orang lemah imannya tidak mampu mengendalikan dirinya terhadap larangan tersebut, walaupun dia menyedari akan akibat buruk yang akan ditempuh. Berbeza halnya dengan orang mukmin yang kuat imannya. Dia sentiasa berusaha menghindarkan perbuatan yang merugi dan merosakkan dirinya dan orang lain. Rasulullah s.a.w bersabda

"Sebaik-baik manusia itu ialah mereka yang memberi menafaat kepada manusia yang lain."

Ciri ketiga

Orang mukmin sejati ialah mereka yang hanya meminta pertolongan dari Allah di dalam menghadapi sesuatu kesulitan. Kita dapati perbezaan orang yang lemah dan orang yang kuat imannya. Orang yang lemah imannya selalu gelisah, gugup, hilang pegangan dan pegangan. Dia mencari pertolongan kepada sesiapa sahaja. Yang dianggapnya dapat menringankan kesulitan dan konflik jiwa yang dideritainya itu, walaupun pertolongan itu hanya sementara sahaja di dunia yang fana ini. Akan tetapi mukmin yang sejati, hanyalah yang meminta pertolongan dengan Allah. Ia memohon terus dengan Allah, tanpa ada perantaraan orang lain. Sebab dia yakin kuasa yang menentukan pada saat yang terakhir ialah Allah s.w.t. tanpa mengabaikan ikhtiar dan usaha dari manusia itu sendiri.

"Kepada Engkaulah (Allah) kami menyembah dan kepada Engkaulah kami memohon perlindungan."

(Al Fatihah: 5)

Ciri Keempat

Sebagai orang mukmin yang sejati, tidak bersikap lemah, yang dimaksudkan disini bukan sahaja lemah fizikal atau tubuh badan tetapi akal dan jiwa terutama sekali rohaniah. Jiwa atau semangat yang kental yang tidak dapat dipatahkan sekalipun jiwanya terancam dan terkorban. Orang yang beriman sentiasa mempunyai pengharapan, kegembiraan dan optimis. Dia tidak mudah patah hati, tidak mudah berhenti berjuang atau menyerah kalah. Kepercayaan yang padu di dalam jiwanya bahawa setiap perbuatan yang baik akan diberi pahala kelak di dalam menanamkan semangat pengharapan kepadanya dan menjadikan pegangan baginya, bahawa setiap usaha dan perjuangan akan berhasil. Dia selalu berpegang kepada petunjuk Ilahi sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

"Jangan putus harapan kepada kurniaan Allah, sesungguhnya yang berputus harapan kepada kurniaan Allah itu hanyalah orang-orang yang kafir."

(Yusuf: 87)

Ciri Kelima

Orang yang beriman tidak menyesali keadaan yang ada pada dirinya. Dalam kehidupan ini, manusia silih berganti dengan kesenangan dan kesusahan, kekayaan dan kemiskinan, kemenangan dan kekalahan, berjaya atau gagal. Di waktu bertemu dengan kesusahan dan kemiskinan, kekalahan dan kekecewaan, janganlah mengeluh menyesali keadaan. Hendaklah sentiasa yakin dan faham bahawa setiap perbuatan dan hal itu daripada Allah s.w.t yang tentunya mempunyai hikmah dan kebaikan yang kita tidak tahu.

Berkata ulama sufi:

"Keputusan Allah telah putus dan hal telah terjadi. Oleh itu rehatkanlah hatimu dari perkataan andaikata dan kalau."

Firman Allah:

"Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagimu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu."

(Al Baqarah: 216)

Kebahagiaan dunia banyak muslihat


Kemewahan, kesenangan mudah lalaikan umat jika tak guna untuk amal kebajikan

Allah (SWT) SWT mengehadkan pengertian kehidupan dunia sebagaimana dalam firman-Nya bermaksud:

“(Dan ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah al-Hadid: 20)

Ayat dengan edisi bahasa yang sama boleh kita dapati dalam ayat 185 surah Ali ‘Imran, manakala dalam pelbagai edisi bahasa tapi mempunyai makna sama boleh didapati dalam tiga ayat iaitu ayat 33 surah Luqman, ayat 5 surah Fatir, dan ayat 14 surah al-Hadid.

Dalam menjelaskan ayat ini, Syeikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan Arrahman berkata: “Oleh itu awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semua itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.” (Nota: 135)

Kesenangan dan kebahagiaan dunia adalah relatif dengan pengertian berbeza esensinya daripada seseorang kepada seorang yang lain. Kebahagiaan pemimpin ada pada kepemimpinannya; kebahagiaan pekerja ada pada pekerjaannya; kebahagiaan pedagang ada pada perniagaannya; kebahagiaan petani ada pada pertaniannya; kebahagiaan guru ada pada profesionnya; kebahagiaan pelajar ada pada pembelajarannya, dan seterusnya.

Kerelatifan makna kebahagiaan membawa kepada kerelatifan sebaliknya yakni kesengsaraan. Jadi kesengsaraan pemimpin ada pada kepemimpinannya; kesengsaraan pekerja ada pada pekerjaannya; kesengsaraan pedagang ada pada perniagaannya; kesengsaraan petani ada pada pertaniannya; kesengsaraan guru ada pada profesionnya; kesengsaraan pelajar ada pada pembelajarannya, dan seterusnya.

Kebahagiaan dan kesengsaraan di atas adalah takdir dan qada’ Allah (SWT) SWT yang tidak boleh dielakkan sesiapa pun yang memperolehnya. Dan sesuatu yang ditakdirkan itu boleh dihadapi dengan dua penyikapan, kata Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam Risalah fi Amrad al-Qulub (Lembaran Penyakit-Penyakit Hati).

  • Pertama, istikharah sebelum takdir itu berlaku.
  • Kedua, reda selepas takdir itu berlaku.

Kebahagiaan seorang hamba ialah dengan menghubungkan kedua-dua hal terbabit seperti disebutkan dalam al-Musnad, dan lain-lain bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya di antara kebahagiaan anak keturunan Adam ialah istikharah kepada Allah (SWT) dan keredaannya terhadap apa yang diputuskan Allah (SWT). Dan sesungguhnya kemalangan anak keturunan Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah (SWT) dan kebenciannya terhadap apa yang diputuskan Allah (SWT).” (Hadis riwayat Ahmad)

Ketika mentafsir ayat al-Quran bermaksud:

“Maka janganlah harta benda dan anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah (SWT) menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir,” (Surah at-Taubah: 55)

Ibn Qayyim dalam kitab yang sama berkata: “Penafsiran yang benar mengenai ayat di atas, wallahu a’lam, ialah bahawa penyeksaan mereka dengan harta boleh dilihat dan penyeksaan pemburu dunia, pencinta dunia dan orang yang lebih mengutamakannya daripada akhirat dalam bentuk ambisi untuk mendapatkannya, kelelahan luar biasa dalam mendapatkannya dan menemui banyak sekali ke dalam upaya mencarinya.

Anda tidak melihat orang yang lebih lelah dan orang menjadikan dunia sebagai matlamat besarnya dan ambisi untuk mendapatkannya. Begitulah orang yang menjadikan dunia sebagai matlamat atau matlamat terbesarnya seperti disabdakan Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud: “Barang siapa akhirat menjadi matlamatnya, maka Allah (SWT) menjadikan kekayaannya dalam hatinya, menyatukan perpecahannya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan patuh kepadanya. Dan barang siapa dunia menjadi matlamatnya, maka Allah (SWT) akan menjadikan kemiskinannya di antara kedua-dua matanya, memecah belah persatuannya, dan dunia tidak datang kepadanya kecuali apa yang ditentukan untuknya.”

Di antara seksa dunia yang paling menyakitkan ialah pemecah belahan persatuan, perpecahan hati dan kemiskinan diletakkan di pelupuk matanya dan tidak meninggalkannya sedetik pun. Seandainya perindu dunia tidak mabuk kepayang dengan cinta dunia, mereka pasti berteriak meminta perlindungan dari dunia. Disebutkan dalam al-Jami’ al-Sahih karangan Imam at-Tirmizi diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud:

“Allah (SWT) berfirman: ‘Hai anak Adam, berilah tumpuan untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku memenuhi dadamu dengan kekayaan dan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukannya, Aku memenuhi kedua-dua tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kemiskinanmu.”

Termasuk seksa dunia yakni kesibukan hati dan badan menanggung seksa dunia, bersaing dengan manusia dalam memperebutkan dunia dan memusuhi mereka seperti dikatakan seorang daripada generasi salaf: “Barang siapa mencintai dunia, hendaklah ia menyiapkan dirinya untuk menanggung banyak musibah.”

Pencinta dunia tidak pernah lepas daripada tiga perkara: Pertama, galau yang selalu berlaku. Kedua, kelelahan yang berpanjangan. Ketiga, kerugian yang tidak berakhir. Ini disebabkan setiap kali pencinta dunia mendapatkan sesuatu, pasti jiwanya berhasrat mendapatkan sesuatu yang lebih besar lagi seperti disebutkan dalam hadis maksudnya:

“Jika anak Adam memiliki dua lembah berisi harta, pasti menginginkan lembah ketiga.” (Muttafaq ‘alaihi)

Nabi Isa bin Maryam a.s mengibaratkan pencinta dunia seperti peminum minuman keras. Semakin banyak dia minum minuman keras, rasa dahaganya semakin meningkat.

Ibn Abi Dunya menyebutkan bahawa Hasan Basri menulis surat kepada Umar bin Abdul Aziz: “Sesungguhnya dunia adalah negeri yang akan pergi dan tidak abadi. Adam diturunkan kepadanya sebagai hukuman baginya. Oleh kerana itu berhati-hatilah terhadapnya wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya bekal di dunia ialah dengan meninggalkannya dan kaya di dalamnya ialah dengan tidak memilikinya.

Dunia selalu meminta korban dalam setiap waktu. Ia merendahkan orang yang mengagungkannya dan membuat miskin orang yang mengumpulkannya. Ia seperti racun yang diminum orang yang tidak mengetahuinya dan di dalamnya terdapat kematiannya. Maka jadilah baginda, wahai Amirul Mukminin di dalamnya seperti orang yang mengubati lukanya. Ia memilih bertahan menghadapi pantangan sebentar daripada sakit lama dan bersabar terhadap sakitnya pengubatan daripada berasakan sakit dalam jangka waktu lama.

Berhati-hatilah terhadap dunia yang menipu, berkhianat dan memperdaya. Ia berhias dengan tipuannya, berdandan dengan muslihatnya, membuat gila dengan angan-angannya dan membuat rindu kepada pelamarnya sehingga ia menjadi seperti pengantin yang menjadi pusat perhatian. Semua mata melihat kepadanya, semua hati rindu kepadanya dan semua jiwanya tertarik kepadanya. Ia pembunuh bagi suaminya, namun kenyataannya orang yang masih hidup tidak mahu belajar daripada orang yang sudah meninggal dunia dan generasi terakhir tidak mengambil pelajaran daripada generasi pertama.” Demikian hujah Ibn al-Qayyim mengenai tipu daya dunia yang membawa maut, bagaimana pula dengan hujah anda? Wallahu a’lam.

Ibadah haji memberi kesan positif terhadap sikap, tindakan dan tingkah laku individu


UMAT Islam dari seluruh dunia tidak lama lagi akan menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah dan Madinah sebagai menyempurnakan rukun Islam kelima.

Firma Allah (SWT) yang bermaksud :

“Allah (SWT) mewajibkan atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji bagi yang mampu mengadakan perjalanan ke sana.” (Surah al-Imran, ayat 97)

Takrif haji secara bahasa bererti menuju atau menziarahi suatu tempat. Menurut istilah fikah ialah ziarah ke Baitullah di Makkah untuk melaksanakan ibadah dengan cara tertentu, dalam waktu dan tempat-tempat tertentu. Ibadah haji diwajibkan pada tahun kesembilan selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah.

Ibadah itu sudah dikenal sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS bersama anaknya Ismail yang diperintahkan Allah (SWT) mengajak dan menyeru manusia menziarahi rumah Allah (SWT) (Baitullah al-Haram). Waktu itu bangsa Arab di sekitarnya setiap tahun berduyun-duyun menuju Kaabah untuk melakukan ibadah haji dengan cara syariat Nabi Ibrahim. Pelaksanaan ibadah haji berjalan terus sampai zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah hari ini.

Menunaikan haji hukumnya wajib bagi yang mampu dari segi mental, fizikal, harta dan keimanan mengenai cara melaksanakan ibadah berkenaan.

Setiap umat Islam mengharapkan dirinya untuk menunaikan ibadah haji. Apa lagi pahala ganjaran yang dijanjikan sangat besar bagi haji mabrur iaitu balasan syurga.

“Tidak ada balasan bagi haji mabrur, melainkan syurga.” (Hadis riwayat Muttafaqa ‘Alaih)

Begitu besarnya kerinduan akan kebesaran dari keagungan Allah (SWT) di Baitullah. Bagi mereka yang sudah menunaikan haji, ingin semula mengerjakan ibadah itu berulang-ulang kali.

Walaupun Rasulullah SAW menegaskan bahawa ibadah haji itu cukup sekali (wajib), sedangkan yang kedua dan seterusnya adalah sunnah. (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Hal itu tidak tidak menghalangi niat kaum Muslimin untuk terus menunaikan ibadah haji ke tanah suci. Semulia ibadah haji adalah mereka yang dapat mencapai dan meraih darjat haji mabrur. Hanya haji mabrur diterima Allah (SWT), iaitu ibadah haji yang dilaksanakan tanpa melakukan perbuatan kesalahan seperti diterangkan dalam al-Quran bermaksud:

“Barang siapa yang berniat melakukan ibadah haji, maka tidak boleh mencampuri isteri, tidak boleh berbuat fasik, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan haji.” (Surah al-Baqarah, ayat 197)

Upaya untuk mendapatkan haji mabrur dilalui berbagai cara. Di antaranya, sebelum berangkat haji seseorang mesti melakukan hal yang boleh membantu hajinya. Iaitu:

  • Bekalannya yang digunakan adalah halal (harta).
  • Berniat ikhlas kerana Allah (SWT) semata-mata.
  • Ketakwaan.
  • Mengerti mengenai ilmu mengerjakan haji dengan mengikuti kursus haji, mengetahui rukun haji, wajib haji dan larangan haji.
  • Mengerti mengenai ilmu ibadah selama dalam perjalanan seperti solat musafir, solat jamak dan solat qasar dan seterusnya.

Sepanjang masa di Tanah Suci, hendaklah memperbanyakkan zikir, talbiah dan menggunakan waktu sebaik-baiknya, beribadah dengan tenang, jangan mengganggu orang lain. Jika ada kesempatan hendaklah menyembelih korban.

Memang balasan syurga adanya di akhirat. Namun sesungguhnya balasan di dunia pun tetap ada iaitu dalam perilaku dan tindakan yang berubah kepada lebih baik. Seseorang yang ibadah hajinya meraih darjat haji mabrur, akan terlihat sekembalinya ke tanah air, sikapnya, tindakannya, akhlaknya dan ibadahnya.

Seseorang jemaah haji yang ternyata tidak ada perubahan sama sekali setelah dan sebelum berangkat ke Tanah Suci, boleh dikatakan ibadah hajinya adalah mardud (haji ditolak).

Darjat haji mabrur hanya boleh diraih dengan niat dan hati ikhlas semata-mata untuk beribadah kepada Allah (SWT) di Tanah Suci. Hati mesti ikhlas dan lurus, tidak ada sedikitpun untuk kepentingan lainnya dalam melaksanakan ibadah haji itu.

Kerana itu, semua kepentingan duniawi mesti diketepikan dan ditinggalkan di tanah air, seperti pangkat, kedudukan, jabatan, dan harta, tidak perlu bermegah-megah di tanah suci, semuanya sama di hadapan Allah (SWT).

Di samping itu, jemaah haji mesti benar-benar ikhlas melakukan taubat seperti yang dilakukan Nabi Adam AS, selepas melakukan kezaliman kerana termakan buah terlarang iaitu khuldi.

Taubat yang semata-mata untuk meraih ampunan dari Yang Maha Kuasa, dilakukan Nabi Adam selama 40 tahun di Padang Arafah. Bayangkan untuk satu kesalahan dan kezaliman, Nabi Adam melakukan taubat di Arafah selama 40 tahun dengan sedikitpun tidak berani mengangkat kepalanya di hadapan Allah (SWT).

Dengan penuh rasa malu dan tidak berhenti-henti Nabi Adam memohon kepada Allah (SWT) untuk diampuni atas kezaliman yang dilakukannya.

Selain itu, untuk meraih haji mabrur yang ditentukan oleh peribadi jemaah, peranan dan wibawa pembimbing jemaah haji (swasta) termasuk pihak bertanggungjawab (Tabung Haji) juga sangat penting. Justeru, pembimbing tidak hanya mengajarkan mengenai tatacara mengerjakan ibadah haji, tetapi juga didasarkan pada bagaimana meningkatkan kefahaman jemaah mengenai melaksanakan ibadat haji dengan baik dan betul. Sesuai dengan tuntutan Rasulullah SAW.

Mengenai jemaah haji yang berkali-kali mengerjakan ibadah haji ke tanah suci, Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya ‘Ihya Ulumuddin‘ memberikan tegurannya, seharusnya mereka yang pergi haji untuk kedua kali dan selebihnya itu hendaklah memperhatikan tetangganya dan saudara Muslim lainnya yang memerlukan pertolongan. Mereka yang berhaji dengan hal seperti itu sama dengan orang yang tertipu (ghurur).

Terhadap mereka yang berangkat mengerjakan ibadah haji kali pertama, al-Ghazali melontarkan tegurannya, di antara mereka banyak yang tidak membersihkan jiwa dan hatinya. Mereka banyak yang mengabaikan aspek ibadah haji berkaitan dengan fizikal dan mental, sehingga apabila sampai di Tanah Suci tidak mampu mengawal kesucian diri seperti berbantah, bertengkar, berkata keji serta berbuat fasik dan maksiat.

Tanda mendapat haji mabrur menurut ulama:

  1. Ternampak perubahan pada sikap, wajah, akhlak dan cara hidup.
  2. Amal ibadah bertambah baik dan tidak cuai melakukannya berbanding sebelumnya.
  3. Sifat jahat dan keji seperti tamak, hasad, dengki, riak, takbur, bakhil, angkuh, membazir, boros dan sebagainya terus ditinggalkan.
  4. Menjadi seorang yang berakhlak baik seperti bertawaduk, merendah diri, tolong menolong, dermawan, bercakap benar, amanah, jujur, bersedekah dan akhlak terpuji.
  5. Ibadah haji memberi kesan positif terhadap sikap dan tingkah laku dari segi perjuangan, kegigihan, keadilan dan sebagainya.
  6. Selalu mengerjakan ibadah puasa dan puasa sunnah dan ibadah lain.
  7. Seseorang pernah berzina, minum arak dan sebagainya terus meninggalkannya sama ada dosa kecil dan dosa besar.
  8. Kalau dulu dia sering mendedahkan aurat tetapi kini dia terus menutup auratnya sebagaimana dituntut oleh ajaran agama.
  9. Seseorang yang baik akan bertambah baik lagi dalam urusan hidup seharian.

Ibadah Haji Dan Haji Mabrur


Saudaraku, ibadah haji adalah nikmat sekaligus amanah dari Allah.

Orang-orang di sekitar kita mengetahui bahwa kita telah dijemput oleh
Allah. Kita pernah dimuliakan Allah dan pernah berada di tempat yang
sangat dimuliakan-Nya. Saudaraku, jangan sampai kita termasuk orang
yang khianat terhadap amanah yang Allah berikan pada kita.

Bukankah kita pernah mendengar bahwa ciri orang munafik itu ada tiga,
yaitu jika dia berkata dia berdusta, jika dia berjanji dia tidak
tepati, jikalau dia diberi amanah dia khianat. Ketahuilah, kita
sekarang mengegang amanah untuk menjadi seorang suri teladan. Sebaik-
baik haji mabrur adalah haji yang mampu memberi teladan. Keteladanan
adalah kekuatan bagi orang-orang yang bersungguh-sungguh menjadi
teladan.Dia adalah orang yang amanah terhadap nikmat haji yang Allah berikan.

Saudaraku, pastikanlah setelah pulang ke Tanah Air kita menjadi
teladan dalam ibadah, sehingga setiap saat panggilan Allah tidak
pernah kita khianati. Tidak pernah ada waktu solat yang pernah kita
abaikan. Jadikanlah tidak mau solat sendiri karena Allah memuliakan
27 kali ganda orang yang berjamaah.

Kita harus menjadikan masjid sebagai tempat yang menyenangkan bagi
kita. Jangan sampai ada haji yang pulangnya tidak mengenal solat,
jangan sampai ada haji yang tidak pernah menyentuh masjid, jangan
pernah ada haji seluruh keluarganya tidak mengenal sujud.
Naudzubillah mindzalik. Saudaraku, haji mabrur adalah haji yang mampu
menjadi teladan di dalam berakhlak.

Karena itu, jangan pernah terlintas fikiran dan perkataan kita,
sesuatu yang menjurus pada perbuatan nista, zina, dan kotor,
naudzubillah mindzalik. Bagaimana mungkin orang yang telah dimuliakan
di hadapan para malaikat, berlaku hina dengan berkata zina, berfikir
zina, dan melumuri tubuhnya dengan perbuatan zina. Haji yang awalnya
dimuliakan Allah kemudian dia lumuri dirinya dengan perbuatan nista
adalah seburuk-buruknya haji.

Saudaraku, jauhilah apapun yang akan mendekatkan diri kepada
perbuatan nista. Pastikan pula sepulangnya dari Tanah Suci, kita
tidak rela bila mulut yang telah basah oleh kemuliaan ini ternodai
oleh dusta. Dusta tidak akan pernah memuliakan kita sama sekali.
Dusta adalah penjara yang membuat kita tidak pernah merdeka menjadi
manusia. Ketidakjujuran tidak akan mendatangkan apapun selain
kehinaan. Biarlah orang menghina kita yang penting kita tidak hina
karena berbuat tidak jujur.

Saudaraku, tutur kata kita mencerminkan siapa diri kita. Semakin
kotor ucapan kita, maka semakin tidak bermutu diri kita. Maka,
pastikanlah seorang haji yang mabrur mampu menjadi teladan dalam
memilih kata dan sikapnya. Nabi Muhammad SAW adalah seorang yang
berbicaranya benar, sedikit, tapi bernilai. Sepatutnya seorang haji
mabrur sangat memilih kata yang akan dia ucapkan. Tidak ada lagi bagi
kita untuk senang berdebat, mengumbar emosi, ataupun memprovokasi.

Seorang haji mabrur akan berusaha untuk tidak menjadi sebahagian dari
masalah. Ia akan berusaha menjadi bahagian yang dapat menyelesaikan
masalah. Saudaraku, jangan hiasi rumah kita dengan pertengkaran dan
kata-kata kotor. Bangunan seindah manapun tidak nyaman oleh orang yang
berkata kotor dan kasar. Alangkah baiknya apabila kita merenungi
sabda Rasulullah SAW, ''Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari
akhir hendaklah berkata baik atau diam.'' Pastikan seorang haji mampu
menjadi teladan dalam berkata-kata.

Yang terakhir adalah keluarga kita. Jangan sampai kesibukan dalam
mengejar obsesi dan keinginan, melalaikan tanggungjawab kita kepada
ibu dan bapa kita. Berapa banyak pengorbanan mereka untuk
membesarkan kita, tapi berapa banyak kita mengecup kedua tangannya!
Kita hampir tidak punya waktu. Kita tidak tahu bagaimana seandainya
orang tua kita sudah terbujur kaku. Seorang haji mabrur adalah haji
yang bertanggungjawab kepada ibu bapanya.

Bagaimana mungkin anak-anak kita bisa memuliakan kita, kalau kita
durhaka kepada orang tua? Saudaraku, bangkitlah untuk menjadi anak
yang berada di barisan terdepan untuk membahagiakan ibu bapa kita.
Setelah itu kita penuhi tanggungjawab kepada keluarga kita. Kita
harus mengajar anak-anak kita untuk mengenal erti hidup. Kejayaan
tidak bererti menjadi kaya, atau karier yang menjulang tinggi.
Kejayaan yang sebenarnya terjadi manakala kita berhasil membawa
keluarga kita menuju pintu syurga. Saudaraku sekalian, tanggungjawab
adalah ciri dari seorang haji mabrur.

Kita mempunyai tanggung jawab terhadap orang-orang di sekitar kita;
tetangga, orang-orang fakir dan miskin. Apa yang bisa kita lakukan
untuk mereka? Kita punya tanggungjawab untuk membantu orang lain
menjadi lebih baik. Kita harus melihat orang lain dengan perasaan
berutang: apa yang bisa saya lakukan untuk anak-anak jalanan? Apa
yang bisa saya lakukan untuk orang cacat? Apa yang bisa saya lakukan
untuk orang-orang miskin?

Semakin merasa berutang, semakin bertanggung jawab, maka semakin
bererti hidup kita. Itulah haji yang mabrur. Haji mabrur kehadirannya
bagai cahaya matahari. Ia menerangi yang gelap, menumbuhkan yang
layu, menyuburkan humus dan gambut. Haji mabrur adalah kekuatan yang
bisa membangunkan keluarga dan masyarakat.

Karena itu, kehadiran haji mabrur seharusnya bisa mendatangkan
keberkahan bagi lingkungan di sekitarnya. Saudaraku, jadikanlah diri
kita sebagai teladan di rumah. Jadikan anak-anak kita bangga memiliki
ayah dan ibu seperti kita. Jadilah teladan untuk tetangga-tetangga
kita, sehingga kehadiran kita menjadi semangat bagi mereka untuk
menjadi lebih baik. Jadilah kita teladan di pejabat atau tempat kerja.

Walaupun kita tidak bisa membagikan harta, kedudukan, karena kita
hanya sebagai pegawai biasa, tetapi buatlah orang-orang merasa nyaman
dengan kehadiran kita. ''Sesungguhnya sebaik-baik manusia adalah
manusia yang paling banyak manfaat,'' begitulah Rasulullah SAW
berpesan. Sebaik-baik haji adalah haji yang paling banyak manfaatnya
bagi makhluk di sekitarnya. Mudah-mudahan Allah Yang Maha Menatap
menjadikan kita haji mabrur dan mengabulkan doa kita ini. Amiin.

Monday, October 6, 2008

Monday, December 31, 2007

Roset Buat OSZA

OSZA adalah akronim yang mencamtumkan nama OSMAN DAN ZAHARAH iaitu kedua datuk dan nenek saya.Dari merekalah lahirnya Sapora, Pian, Noh,Syam ,Bakar Dan Zawiyah.Sapora kakak sulung mereka adalah arwah bonda saya sementara yang lain-lain itu merupakan bapa dan emak saudara saya. Kesemua mereka telah kembali ke roh matullah.
Kadang-kadang terfikir juga betapa suatu hari nanti generasi OSZA ini akan menjadi begitu terasing antara satu sama lain walhal ketika generasi emak-emak dan bapa-bapa mereka dahulu keakraban jelas kelihatan .

Bagi diri saya sendiri tidak begitu penting. Namun bagi sepupu saya mereka perlu berbuat sesuatu supaya hubungan sesama generasi selepas mereka tidak terputus begitu sahaja.

Gagasan ini tercetus dalam suatu interaksi sosial yang tidak terancang bersama seorang daripada saudara saya iaitu Shaik Abd. Majid. Matlamat utama ialah untuk mempertemu dan menyatukan semula seluruh Keluarga OSZA daripada pelbagai generasi agar sama-sama dapat mengenali antara satu sama lain. Bertitik tolak dari situlah maka suatu Himpunan Keluarga dirancang yang kami namakan Himpunan Tautan Silatul Rahim Keluarga OSZA. Secara ad hock sebuah Jawatan kuasa kerja ditubuhkan untuk merealisasikan impian ini.

Usaha ini kemudiannya mendapat sambutan luar biasa daripada semua ahli keluarga. Kesediaan mereka menghulurkan wang untuk menjayakan program adalah bukti pengorbanan mereka. .Lalu pada bulan Jun 2007 Himpunan Tautan Silatul Rahim Keluarga OSZA pun berlangsung buat pertama kalinya dalam suasana yang begitu meriah di sebuah restoran tidak jauh dari Jitra. Usaha ini berjaya mengumpulkan hampir 250 orang ahli keluarga OSZA .Lebih membanggakan ialah kesediaan beberapa orang ahli keluarga yang sanggup menaja bagi memastikan program berjalan dengan kos yang mencukupi. Kita rakamkan terima kasih khusus kepada Sdra Dr. Anwar Mat Arshad -anakanda kepada Kak Hjh. Noriah dan Abang Hj. Arshad di atas kesediaan beliau menaja kos menyediakan cenderamata. Juga terima kasih kepada Cikgu Fauziah, Cikgu Habsah dan Cikgu Bashah di atas kesediaan menaja Hadiah /Cenderanmata untuk super warga emas kami yang terdiri daripada Ngah Teh, Pak Lang Ibrahim dan Mak Cik Pian.

Program ramah mesra yang disusun oleh jawatan kuasa memberikan ruang kepada semua generasi bercampur gaul dalam suasana mesra antara mereka. Aturcara untuk kanak-kanak juga diberi keutamaan dalam usaha untuk merapatkan generasi paling bawah itu. Justeru diadakan pertandingan mewarna serta mini sukan yang kelihatan begitu meriah.


Namun kesilapan tidak kadang-kadang sukar dapat dielakkan. Teguran membina bagi menambahbaikan program seperti ini di masa-masa akan datang kita terima dengan minda terbuka. Betapa baik pun cadangan yang disuarakan namun pelaksanaannya memerlukan menelitian yang jitu. Siapa harus menjadi kepala atau ekor tidak penting kepada saya. Yang penting kita saling hormat menghormati dan memastikan seluruh keluarga OSZA merangkumi semua generasi dapat disatukan dalam suasana yang penuh harmoni .


Saya berdoa kehadrat Allah Taala semoga usaha yang telah kita sama-sama rintis ini akan dapat diteruskan di masa-masa hadapan oleh generasi selepas kita.
Saya teringatkan kata-kata pepatah melayu dahulu bahawa sebatang lidi dapat dipatahkan dengan begitu mudah tetapi satu penyapu lidi tidak mudah dipatahkan. Begitulah juga pepatah "biduk lalu kiambang bertaut", "carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga", "bersatu kita teguh bercerai kita runtuh","Air dipincang tidak akan putus", " Cubit paha kanan paha kira terasa juga".....dan banyak lagi yang kesemuanya mencerminkan betapa hubungan kekeluargaan itu amat dipelihara oleh datuk nenek kita...Terserahkan kepada kita untuk memikirkannya kembali. Jika bukan kita yang mahu memikirkannya maka siapa lagi yang dapat kita harapkan untuk memikirkannya.Kita kelihatan berjaya kali pertama dan semoga kita terus berjaya di masa-masa akan datang dalam usaha kita menyatupadukan seluruh keluarga OSZA yang kita kasihi ini.

Semoga kita dapat bertemu lagi di tahun 2008.....Selamat tinggal 2007....
.

Sunday, April 8, 2007

Kampung Lama Ke Arah Kampung Wawasan

Warga Kampung Lama( KL) sewajarnya menyambut baik dan merasa bertuah dengan berita bahawa kampung mereka secara sistematik akan berubah wajah sebagai Kampung Wawasan. Saya tidak pasti bagaimana nanti rupa KL apabila berstatus Kampung Wawasan kelak namun yang pasti wajah fizikal akan berubah sesuai dengan status baru nanti. Wajah kampung akan bertukar menjadi kampung dalam taman dengan infrastruktur yang lebih tersusun.Jika Langkawi berubah wajah kerana dikatakan sudah berakhirnya sumpahan Mahsuri selama tujuh keturunan maka apa yang akan berlaku kepada Kampung Lama selepas ini mungkin tiada kaitan dengan situasi yang serupa.

Setiap orang penduduk Kg. Lama perlu lebih bersedia untuk mengubah lebih dari semata-mata prasarana tetapi juga perubahan cara berfikir berorientasikan ciri progressif dan berwawasan. Barangkali tugas berat sedang menanti warga Kampung Lama untuk berusaha mengubah cara mereka berfikir.Dari jumud kepada keterbukaan, dari "simple minded" kepada lebih kompleks, dari "self-centric" kepada "one for all and all for one".

Hari Raya Di Bawah Pokok Cempaka
Masih segar dalam ingatan saya ketika saya masih kanak-kanak betapa warga kampung tersebut menyambut hari raya aidil fitri mahu pun hari raya aidil adha dengan cara yang jauh menyimpang daripada ajaran agama mereka.Mereka akan duduk bersila sesama mereka di bawak pokok cempaka Tok Sah dan bermain judi sepanjang hari.Bukan salah mereka kerana hampir semua kampung di kawasan ini ketika itu melakukan aktiviti yang serupa. Namun selepas generasi mereka amalan tersebut ditinggalkan tahun demi tahun.Itu adalah satu perubahan yang cukup baik. Selepas itu ramai kaum ibu berjinak-jinak dengan pengajian agama apabila mereka sedia berjalan kaki sejauh lebih 2 km ke Pondok Haji Wan Leh untuk menimba ilmu agama pada setiap Jumaat.Peliknya ketika itu tidak ramai kaum bapa yang berbuat demikian mungkin kerana ada urusan lain atau tidak berminat.Allahwualam.

Kelas Dewasa/Buta Huruf
Sebagai usaha kerajaan selepas merdeka untuk membasmikan buta huruf di kalangan rakyatnya maka kerajaan mengadakan program pembasmian buta huruf secara terancang dengan melalui penganjuran Kelas Dewasa/Buta Huruf di kampung-kampung termasuk di Kampung Lama sekitar pertengahan tahun 60'an.Tempatnya di rumah Tok Aji Ali sebab Kampung Lama tiada dewan untuk tujuan itu.

Macam-macam cerita menarik dalam kelas tersebut. Antara yang diceritakan oleh seorang warga emas yang turut serta dalam pengajian tersebut tentang peristiwa yang berlaku di sebuah kampung lain.

Katanya apabila tiba masa untuk Kelas Dewasa/Buta Huruf yang diadakan di kampung dengan guru bernama Haji Hud ( bukan nama sebenar) maka riuh rendah mereka di belakang kelas. Haji Hud yang gigih membantu mereka mengenal huruf dan mengeja. Kekadang jika Haji Hud menulis di papan hitam perkataan MATA atau TELINGA atau HIDUNG.

Sampai masa ujian mengeja. Seorang penyelia akan berada di dalam kelas . Haji Hud lalu menulis di papan hitam perkataan MATA lalu bertanya kepada Tok Choh (Bukan mana sebenar).

" Apa itu Bang Choh?". Tok Choh tidak dapat menjawab lalu Haji Hud akan menunjukan dan mengggaru-garukan matanya sebagai panduan. Lantas Bang Choh akan menjawab MATA. Haji Hud tersenyum. Penyelia mengangguk-anggukkan kepala.Begitulah kaedah Haji Hud.

Namun Haji Hud terperangkap juga apabila beliau menulis perkataan "GELANG" di papan hitam.
" Cuba Bang Late sebut apa ni?" Tanya Haji Hud kepada Pak Long Late (bukan nama sebenar). Seperti biasa Pak Long Late mengharapkan bantuan Haji Hud sambil memerhatikan ke arah Penyelia. Terperanjat Haji Hud kerana tiada ada kaedah yang mudah untuk membantu Pak Long Late. Lalu Haji Hud menunjukkan pergelangan tangannya kepada Pak Long Late sambil mengurut-urutkannya .Pak Long Late juga terperanjat kerana perbuatan itu nampak pelik dan luar biasa. Otak "biru" Pak Long Late tidak dapat disekat-sekat lagi hanya menanti masa untuk terpancut dari mulutnya.

" Tak kan hat tu pun nak tanya Bang Haji..." Jawab Pak Long Late.
" Tak apa jawab saja ...senang..jangan malu..malu.." Tegas hati Hud meminta Pak Long Late menjawab. Muka penyelia menjadi merah padam apabila melihat mulut Pak Long Late terkumat kumit...lalu terkeluarlah perkataan yang di luar jangkaan semua yang ada dalam kelas petang itu.

" Ala Cikgu Hj. Hud...loklakla... semua orang jantan ada cuma taklah besak macam tu......" Jawab Pak Long Late antara keluar suara dan tidak. Muka Hj. Hud serta merta merah persis udang bakar.Penyelia yang bersemangat itu tiba-tiba mengeleng-gelengkan kepalanya serta menyampuk" Bukan benda tu Pak Long...cukup Tuan Hj. Hud sila tukar soalan lain..."

Haji Hud yang tenang itu tetiba menjadi kelam kelibut lalu terus berkata, " Kita berhenti di sini..minggu depan kita sambung lagi ujianni...."


Pak Chik Bakar Dan Kampung Lama - Suatu Sinonim
Suatu ketika ramai kaum ibu dan kaum bapa peribumi Kampung Lama terbuka hati lalu sering mengikuti pengajian agama mingguan di Pondok Haji Wan Leh . Keadaan itu menjadikan mereka begitu rapat dengan masyarakat pondok. Minda yang terbuka itulah menimbulkan minat antara mereka untuk membina sebuah surau di tapak tanah seorang daripada mereka di Kampung Lama. Initiatif ini diambil oleh bapa saudara saya yang kami panggil Arwah Pak Chik Bakar. Terbinanya surau itu membolehkankan mereka bersolat berjamaah sekali gus merapatkan pertalian sesama mereka. Anak-anak mereka turut mendapat faedah daripada pandangan jauh Pak Chik Bakar apabila beliau sendiri membuka kelas pengajian al-quran kepada anak-anak di kampungnya.Ketika itu surau kecil itu bukan dimakmurkan mengikut musim tetapi berfungsi sepanjang masa sebagai tempat ibadah dan tempat merancang aktiviti sosial masyarakat kampung.Surau yang terletak ditapak yang beliau wakafkan itu akhirnya diruntuhkan oleh beberapa penduduk kampungnya sendiri lalu dibina sebuah surau yang baru terletak jauh dari tapak asal berkonsepkan surau moden.Tindakan itu tidak mudah melenyapkan nama arwah Pak Chik Bakar dari lipatan sejarah kebangkitan kesedaran penjanaan ilmu dan amalan berjamaah di kampung tersebut. Kini nama Lebai Bakar Bakar sering disebut oleh masyarakat masjid di Kubang Pasu sebagai bapa yang berjaya mendidik sebahagian besar daripada anak-anaknya menjadi orang-orang yang kaya dengan ilmu keagamaan dan berakhlak mulia.

Jika maksud wawasan boleh diertikan sebagai "visionary" maka tentunya kampung wawasan ini mempunyai hala tuju tertentu untuk merancang masa hadapan yang lebih gemilang untuk warganya serta generasi selepas mereka.

Bercakap tentang wawasan saya tidak dapat menolak peranan arwah Pak Chik Bakar adinda kepada arwah bonda saya Safura yang dalam tahun-tahun 70'an sudah memiliki wawasan yang tidak pernah terfikir oleh seorang pun penduduk kampung lama waktu itu. Pak Chik pernah berkata kepada saya bahawa "untuk maju kepala otak kita kena maju terlebih dahulu". Pelbagai cara dan kaedah untuk memajukan "kepala otak".Antaranya perlu rajin belajar , jangan sombong dan angkuh serta rajin berfikir.Saya masih teringat suatu petang di rumah saya beliau perpesan " carilah ilmu kerana ilmu itu akan memandu hidup kamu....." dan " janganlah kamu menjadi hamba kepada harta benda kamu...."

Secara senyap-senyap orang kampung mula melimparkan kritik-kritik beremosi kepada beliau apabila beliau memilih untuk memberi pendidikan formal kepada anak-anaknya di sekolah pondok yang daif di Kodiang ketika itu walhal sebuah sekolah rendah kerajaan hanya di depan kampung kami sahaja. Namun beliau tetap bertegas dengan wawasan untuk anak-anaknya. Hantarkan ke sekolah agama pondok yang rata-rata berkata " tiada masa depan". Beliau dengan tegas mengatakan 20-30 tahun lagi kamu akan tahu......Tidak lama selepas itu beliau memilih untuk berhijrah ke Derang kerana warga kampung halamannya sendiri seolah-olah tidak dapat memahami isi hatinya. Di Derang beliau memulakan penghidupan baru mendidik dan membentuk anak-anaknya hingga berjaya kini.

Nyata anak-anak beliau yang asalnya berlatarbelakangkan pendidikan pondok berakhir dengan segulung ijazah dari Universiti Al-Azhar dan kini menjadi penceramah agama yang disegani. Suara anak perempuan beliau Zaharah suatu ketika dahulu sering berkumandang di RTM Alor Star sebagai penceramah jemputan tetap.Bukan untuk dimegah-megah tetapi itulah hakikat wawasan seorang bekas warga Kampung Lama yang sering dipandang remeh oleh rakan sekampung seangkatan dengannya ketika dalam perjuangan untuk merealisasikan wawasannya.Sesungguhnya arwah telah meninggalkan sesuatu yang amat bernilai untuk diteladani.

10 Fakta Penting Tentang Warga Peribumi Kampung Lama:
1. Orang yang paling awal memiliki lesen kenderaan dan boleh memandu kereta ialah Pak Teh Lah (kini berumur 80 tahun lebih)
2. Satu-satunya warga yang memiliki lesen dan boleh memandu tractor ialah Chu Lin( kini berusia hampir 80 thn thn).
3. Orang yang paling lama menyaguh basikal yang sama dan masih kekal dengan basikal lamanya hingga kini ialah Pak Long Napiah ( Usia dalam lingkungan 73 thn)
4. Tukang Rumah paling awal ialah Pak Lang Hem dan Bang Sin ( Arwah) .Pak Lang Hem memiliki rambut yang paling lebat dan hitam belegam ala rockers hingga kini ( berusia hampir 80 thn).
5. Orang yang terawal masuk Universiti ialah Arwah Aziz Ariffin ( Arwah Adinda saya)
6. Pengerusi JKK pertama ialah Chu Jit( Arwah Cikgu Md. Isa)
7.Orang yang paling kuat berjalan kaki ialah KakTon.
8. Orang pertama menjadi inspector ialah Pak Tuan Syed ( Inspector Bas laaa...).
9.Orang yang paling awal memiliki radio ialah Arwah Bang Man Tok Iman Hj. Saad( bekas suami Kak Ton)
10.Orang pertama yang diiktiraf paling kuat temberang/cakap bohong ialah ?????????????

Selamat melangkah ke era wawasan.......

Sunday, March 11, 2007

Sejenak Bersama Rahmad Di Warung Capati

" On March 10, 1876, Alexander Graham Bell conducted the first successful experiment with the telephone. This breakthrough, during which he uttered his famous directive to his assistant, Thomas Watson, is recorded in the March 10 entry of his Lab Notebook."...Bagitulah bunyinya serangkap daripada catatan sejarah dunia komunikasi yang langsung mengubah sistem komunikasi sejagat.

Tidak terlintas difikiran bahawa 10 Mac bukan sahaja bermakna kepada dunia komunikasi namun saya menyambutnya setiap tahun kerana ianya ada kaitan dengan ulangtahun hari kelahiran saya. Kekadang pada 10 Mac yang keramat itu membawa pelbagai peristiwa yang sukar dijangka. 10 Mac yang baru lalu juga tidak terkecuali.

Deringan talifon Nokia yang ada pada saya mungkin membingungkan Alexander GB jika dia dapat mendengarinya atau mungkin juga dia sendiri rasa ketakutan menghampirinya meski pun namanya terpahat dalam lipatan sejarah sebagai pencipta alat komunikasi itu. Deringan pada 10 Mac yang lalu bukan dari panggilan Alexander GB mau pun Thomas Watson tetapi dari seorang rakan yang sudah suku abad tidak bertemu.

" Assalamulaikum ...ini Cikgu Abdullah?" Suara yang pertama saya dengar itu nyata terlalu asing bagi telinga saya.

" Ya...saya..." Jawab saya ringkas.

" Cikgu biasa study di UKM? Biasa dengar Zakaria Abas...... kini Prof kat UUM...Ingat Sulaiman Nadiji? Ingat Nazri?...." Soalan yang selaju air banjir depan rumah saya dahulu seakan-akan terperangkat dalam minda saya.

Saya amat kenal dengan semua yang disebut oleh Rahmad kerana antara kami amat rapat semasa studi di UKM dulu. Zakaria kini bergelar Prof dan seorang dekan di UUM. Beliau sewajarnya mencapai tahap itu kerana ia memang seorang yang gigih berusaha. Sulaiman rakan dari Perlis barangkali kini sudah pun bersara adalah seorang Peguasa Kastam sementara Nazri yang terakhir saya temui bertugas sebagai Accountant Kanan di Perbendaharaan di P. Pinang. Rahmad sendiri kini seorang pegawai kanan di RHB Bank di Melaka.

" Semua saya ingat dan kenal " Jawab saya ringkas.

" Saya Rahmad...Cikgu kenal lagi?.."

" Ya...ya....Rahmad..dari Johor kan?" Saya pasti rakan sekuliah di UKM dahulu. Saya pasti tidak silap. Dalam kepala saya terbayang bagaimanakah rupa kawan saya ini.Mungkin 20 tahun telah mengubah segala-galanya. Kami tidak sempat berbual panjang malam itu kerana beliau ada program tersendiri . Namun kami berjanji untuk bersarapan bersama-sama pada keesokkan harinya.

Pada paginya 11 Mac saya mengambil peluang bertemu rakan saya yang sudah lebih 20 tahun tidak ketemu. Rupa-rupanya dia sama seperti Rahmad yang saya kenal dahulu juga. Seorang peramah dan mudah berbicara.

Kami sama-sama bersarapan di Warung Capati bersebelahan Pusat Dakwah Jitra yang dalam pembinaan. Di situ sahajalah satu-satu warung untuk sarapan pagi yang sesuai untuk tetamu di Jitra ini.

Amat tidak disangka apabila beliau mengatakan bahawa beliau sering berada di Jitra hampir 5 tahun lebih berulangalik dari KL ke sini namun tidak pernah menyangka bahawa saya berda di sini.

Pertemuan ini berlaku secara kebetulan apabila beliau datang untuk Hari Konvo di UUM.Di situ beliau secara kebetulan bertemu dengan Zakaria Abas juga rakan sekuliah di UKM dahulu- kini Dr. Zakaria juga seorang Dekan di UUM.

Kami tidak sempat berbual panjang dalam masa yang terhad kerana beliau ingin segera pulang ke KL Namun pertemuan itu sendiri sudah cukup untuk mengenangkan kembali kisah-kisah lama semasa diUKM.Ramai kawan-kawan sekuliah dahulu sudah tidak dapat dihubungi. Antara paling diingati ialah Sdra. Faris Keling yang kali terakhir bertugas sebagai Akauntant dengan KTM.Juga saudara Anuar yang setahu saya bertugas sebagai Akauntant di Bank Negara di Kuala Lumpur. Mereka banyak mewarnai penghidupan saya dan rakan-rakan semasa di kampus dahulu dengan pelbagai gelagat yang sukar dilupakan.