Monday, December 31, 2007

Roset Buat OSZA

OSZA adalah akronim yang mencamtumkan nama OSMAN DAN ZAHARAH iaitu kedua datuk dan nenek saya.Dari merekalah lahirnya Sapora, Pian, Noh,Syam ,Bakar Dan Zawiyah.Sapora kakak sulung mereka adalah arwah bonda saya sementara yang lain-lain itu merupakan bapa dan emak saudara saya. Kesemua mereka telah kembali ke roh matullah.
Kadang-kadang terfikir juga betapa suatu hari nanti generasi OSZA ini akan menjadi begitu terasing antara satu sama lain walhal ketika generasi emak-emak dan bapa-bapa mereka dahulu keakraban jelas kelihatan .

Bagi diri saya sendiri tidak begitu penting. Namun bagi sepupu saya mereka perlu berbuat sesuatu supaya hubungan sesama generasi selepas mereka tidak terputus begitu sahaja.

Gagasan ini tercetus dalam suatu interaksi sosial yang tidak terancang bersama seorang daripada saudara saya iaitu Shaik Abd. Majid. Matlamat utama ialah untuk mempertemu dan menyatukan semula seluruh Keluarga OSZA daripada pelbagai generasi agar sama-sama dapat mengenali antara satu sama lain. Bertitik tolak dari situlah maka suatu Himpunan Keluarga dirancang yang kami namakan Himpunan Tautan Silatul Rahim Keluarga OSZA. Secara ad hock sebuah Jawatan kuasa kerja ditubuhkan untuk merealisasikan impian ini.

Usaha ini kemudiannya mendapat sambutan luar biasa daripada semua ahli keluarga. Kesediaan mereka menghulurkan wang untuk menjayakan program adalah bukti pengorbanan mereka. .Lalu pada bulan Jun 2007 Himpunan Tautan Silatul Rahim Keluarga OSZA pun berlangsung buat pertama kalinya dalam suasana yang begitu meriah di sebuah restoran tidak jauh dari Jitra. Usaha ini berjaya mengumpulkan hampir 250 orang ahli keluarga OSZA .Lebih membanggakan ialah kesediaan beberapa orang ahli keluarga yang sanggup menaja bagi memastikan program berjalan dengan kos yang mencukupi. Kita rakamkan terima kasih khusus kepada Sdra Dr. Anwar Mat Arshad -anakanda kepada Kak Hjh. Noriah dan Abang Hj. Arshad di atas kesediaan beliau menaja kos menyediakan cenderamata. Juga terima kasih kepada Cikgu Fauziah, Cikgu Habsah dan Cikgu Bashah di atas kesediaan menaja Hadiah /Cenderanmata untuk super warga emas kami yang terdiri daripada Ngah Teh, Pak Lang Ibrahim dan Mak Cik Pian.

Program ramah mesra yang disusun oleh jawatan kuasa memberikan ruang kepada semua generasi bercampur gaul dalam suasana mesra antara mereka. Aturcara untuk kanak-kanak juga diberi keutamaan dalam usaha untuk merapatkan generasi paling bawah itu. Justeru diadakan pertandingan mewarna serta mini sukan yang kelihatan begitu meriah.


Namun kesilapan tidak kadang-kadang sukar dapat dielakkan. Teguran membina bagi menambahbaikan program seperti ini di masa-masa akan datang kita terima dengan minda terbuka. Betapa baik pun cadangan yang disuarakan namun pelaksanaannya memerlukan menelitian yang jitu. Siapa harus menjadi kepala atau ekor tidak penting kepada saya. Yang penting kita saling hormat menghormati dan memastikan seluruh keluarga OSZA merangkumi semua generasi dapat disatukan dalam suasana yang penuh harmoni .


Saya berdoa kehadrat Allah Taala semoga usaha yang telah kita sama-sama rintis ini akan dapat diteruskan di masa-masa hadapan oleh generasi selepas kita.
Saya teringatkan kata-kata pepatah melayu dahulu bahawa sebatang lidi dapat dipatahkan dengan begitu mudah tetapi satu penyapu lidi tidak mudah dipatahkan. Begitulah juga pepatah "biduk lalu kiambang bertaut", "carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga", "bersatu kita teguh bercerai kita runtuh","Air dipincang tidak akan putus", " Cubit paha kanan paha kira terasa juga".....dan banyak lagi yang kesemuanya mencerminkan betapa hubungan kekeluargaan itu amat dipelihara oleh datuk nenek kita...Terserahkan kepada kita untuk memikirkannya kembali. Jika bukan kita yang mahu memikirkannya maka siapa lagi yang dapat kita harapkan untuk memikirkannya.Kita kelihatan berjaya kali pertama dan semoga kita terus berjaya di masa-masa akan datang dalam usaha kita menyatupadukan seluruh keluarga OSZA yang kita kasihi ini.

Semoga kita dapat bertemu lagi di tahun 2008.....Selamat tinggal 2007....
.

Sunday, April 8, 2007

Kampung Lama Ke Arah Kampung Wawasan

Warga Kampung Lama( KL) sewajarnya menyambut baik dan merasa bertuah dengan berita bahawa kampung mereka secara sistematik akan berubah wajah sebagai Kampung Wawasan. Saya tidak pasti bagaimana nanti rupa KL apabila berstatus Kampung Wawasan kelak namun yang pasti wajah fizikal akan berubah sesuai dengan status baru nanti. Wajah kampung akan bertukar menjadi kampung dalam taman dengan infrastruktur yang lebih tersusun.Jika Langkawi berubah wajah kerana dikatakan sudah berakhirnya sumpahan Mahsuri selama tujuh keturunan maka apa yang akan berlaku kepada Kampung Lama selepas ini mungkin tiada kaitan dengan situasi yang serupa.

Setiap orang penduduk Kg. Lama perlu lebih bersedia untuk mengubah lebih dari semata-mata prasarana tetapi juga perubahan cara berfikir berorientasikan ciri progressif dan berwawasan. Barangkali tugas berat sedang menanti warga Kampung Lama untuk berusaha mengubah cara mereka berfikir.Dari jumud kepada keterbukaan, dari "simple minded" kepada lebih kompleks, dari "self-centric" kepada "one for all and all for one".

Hari Raya Di Bawah Pokok Cempaka
Masih segar dalam ingatan saya ketika saya masih kanak-kanak betapa warga kampung tersebut menyambut hari raya aidil fitri mahu pun hari raya aidil adha dengan cara yang jauh menyimpang daripada ajaran agama mereka.Mereka akan duduk bersila sesama mereka di bawak pokok cempaka Tok Sah dan bermain judi sepanjang hari.Bukan salah mereka kerana hampir semua kampung di kawasan ini ketika itu melakukan aktiviti yang serupa. Namun selepas generasi mereka amalan tersebut ditinggalkan tahun demi tahun.Itu adalah satu perubahan yang cukup baik. Selepas itu ramai kaum ibu berjinak-jinak dengan pengajian agama apabila mereka sedia berjalan kaki sejauh lebih 2 km ke Pondok Haji Wan Leh untuk menimba ilmu agama pada setiap Jumaat.Peliknya ketika itu tidak ramai kaum bapa yang berbuat demikian mungkin kerana ada urusan lain atau tidak berminat.Allahwualam.

Kelas Dewasa/Buta Huruf
Sebagai usaha kerajaan selepas merdeka untuk membasmikan buta huruf di kalangan rakyatnya maka kerajaan mengadakan program pembasmian buta huruf secara terancang dengan melalui penganjuran Kelas Dewasa/Buta Huruf di kampung-kampung termasuk di Kampung Lama sekitar pertengahan tahun 60'an.Tempatnya di rumah Tok Aji Ali sebab Kampung Lama tiada dewan untuk tujuan itu.

Macam-macam cerita menarik dalam kelas tersebut. Antara yang diceritakan oleh seorang warga emas yang turut serta dalam pengajian tersebut tentang peristiwa yang berlaku di sebuah kampung lain.

Katanya apabila tiba masa untuk Kelas Dewasa/Buta Huruf yang diadakan di kampung dengan guru bernama Haji Hud ( bukan nama sebenar) maka riuh rendah mereka di belakang kelas. Haji Hud yang gigih membantu mereka mengenal huruf dan mengeja. Kekadang jika Haji Hud menulis di papan hitam perkataan MATA atau TELINGA atau HIDUNG.

Sampai masa ujian mengeja. Seorang penyelia akan berada di dalam kelas . Haji Hud lalu menulis di papan hitam perkataan MATA lalu bertanya kepada Tok Choh (Bukan mana sebenar).

" Apa itu Bang Choh?". Tok Choh tidak dapat menjawab lalu Haji Hud akan menunjukan dan mengggaru-garukan matanya sebagai panduan. Lantas Bang Choh akan menjawab MATA. Haji Hud tersenyum. Penyelia mengangguk-anggukkan kepala.Begitulah kaedah Haji Hud.

Namun Haji Hud terperangkap juga apabila beliau menulis perkataan "GELANG" di papan hitam.
" Cuba Bang Late sebut apa ni?" Tanya Haji Hud kepada Pak Long Late (bukan nama sebenar). Seperti biasa Pak Long Late mengharapkan bantuan Haji Hud sambil memerhatikan ke arah Penyelia. Terperanjat Haji Hud kerana tiada ada kaedah yang mudah untuk membantu Pak Long Late. Lalu Haji Hud menunjukkan pergelangan tangannya kepada Pak Long Late sambil mengurut-urutkannya .Pak Long Late juga terperanjat kerana perbuatan itu nampak pelik dan luar biasa. Otak "biru" Pak Long Late tidak dapat disekat-sekat lagi hanya menanti masa untuk terpancut dari mulutnya.

" Tak kan hat tu pun nak tanya Bang Haji..." Jawab Pak Long Late.
" Tak apa jawab saja ...senang..jangan malu..malu.." Tegas hati Hud meminta Pak Long Late menjawab. Muka penyelia menjadi merah padam apabila melihat mulut Pak Long Late terkumat kumit...lalu terkeluarlah perkataan yang di luar jangkaan semua yang ada dalam kelas petang itu.

" Ala Cikgu Hj. Hud...loklakla... semua orang jantan ada cuma taklah besak macam tu......" Jawab Pak Long Late antara keluar suara dan tidak. Muka Hj. Hud serta merta merah persis udang bakar.Penyelia yang bersemangat itu tiba-tiba mengeleng-gelengkan kepalanya serta menyampuk" Bukan benda tu Pak Long...cukup Tuan Hj. Hud sila tukar soalan lain..."

Haji Hud yang tenang itu tetiba menjadi kelam kelibut lalu terus berkata, " Kita berhenti di sini..minggu depan kita sambung lagi ujianni...."


Pak Chik Bakar Dan Kampung Lama - Suatu Sinonim
Suatu ketika ramai kaum ibu dan kaum bapa peribumi Kampung Lama terbuka hati lalu sering mengikuti pengajian agama mingguan di Pondok Haji Wan Leh . Keadaan itu menjadikan mereka begitu rapat dengan masyarakat pondok. Minda yang terbuka itulah menimbulkan minat antara mereka untuk membina sebuah surau di tapak tanah seorang daripada mereka di Kampung Lama. Initiatif ini diambil oleh bapa saudara saya yang kami panggil Arwah Pak Chik Bakar. Terbinanya surau itu membolehkankan mereka bersolat berjamaah sekali gus merapatkan pertalian sesama mereka. Anak-anak mereka turut mendapat faedah daripada pandangan jauh Pak Chik Bakar apabila beliau sendiri membuka kelas pengajian al-quran kepada anak-anak di kampungnya.Ketika itu surau kecil itu bukan dimakmurkan mengikut musim tetapi berfungsi sepanjang masa sebagai tempat ibadah dan tempat merancang aktiviti sosial masyarakat kampung.Surau yang terletak ditapak yang beliau wakafkan itu akhirnya diruntuhkan oleh beberapa penduduk kampungnya sendiri lalu dibina sebuah surau yang baru terletak jauh dari tapak asal berkonsepkan surau moden.Tindakan itu tidak mudah melenyapkan nama arwah Pak Chik Bakar dari lipatan sejarah kebangkitan kesedaran penjanaan ilmu dan amalan berjamaah di kampung tersebut. Kini nama Lebai Bakar Bakar sering disebut oleh masyarakat masjid di Kubang Pasu sebagai bapa yang berjaya mendidik sebahagian besar daripada anak-anaknya menjadi orang-orang yang kaya dengan ilmu keagamaan dan berakhlak mulia.

Jika maksud wawasan boleh diertikan sebagai "visionary" maka tentunya kampung wawasan ini mempunyai hala tuju tertentu untuk merancang masa hadapan yang lebih gemilang untuk warganya serta generasi selepas mereka.

Bercakap tentang wawasan saya tidak dapat menolak peranan arwah Pak Chik Bakar adinda kepada arwah bonda saya Safura yang dalam tahun-tahun 70'an sudah memiliki wawasan yang tidak pernah terfikir oleh seorang pun penduduk kampung lama waktu itu. Pak Chik pernah berkata kepada saya bahawa "untuk maju kepala otak kita kena maju terlebih dahulu". Pelbagai cara dan kaedah untuk memajukan "kepala otak".Antaranya perlu rajin belajar , jangan sombong dan angkuh serta rajin berfikir.Saya masih teringat suatu petang di rumah saya beliau perpesan " carilah ilmu kerana ilmu itu akan memandu hidup kamu....." dan " janganlah kamu menjadi hamba kepada harta benda kamu...."

Secara senyap-senyap orang kampung mula melimparkan kritik-kritik beremosi kepada beliau apabila beliau memilih untuk memberi pendidikan formal kepada anak-anaknya di sekolah pondok yang daif di Kodiang ketika itu walhal sebuah sekolah rendah kerajaan hanya di depan kampung kami sahaja. Namun beliau tetap bertegas dengan wawasan untuk anak-anaknya. Hantarkan ke sekolah agama pondok yang rata-rata berkata " tiada masa depan". Beliau dengan tegas mengatakan 20-30 tahun lagi kamu akan tahu......Tidak lama selepas itu beliau memilih untuk berhijrah ke Derang kerana warga kampung halamannya sendiri seolah-olah tidak dapat memahami isi hatinya. Di Derang beliau memulakan penghidupan baru mendidik dan membentuk anak-anaknya hingga berjaya kini.

Nyata anak-anak beliau yang asalnya berlatarbelakangkan pendidikan pondok berakhir dengan segulung ijazah dari Universiti Al-Azhar dan kini menjadi penceramah agama yang disegani. Suara anak perempuan beliau Zaharah suatu ketika dahulu sering berkumandang di RTM Alor Star sebagai penceramah jemputan tetap.Bukan untuk dimegah-megah tetapi itulah hakikat wawasan seorang bekas warga Kampung Lama yang sering dipandang remeh oleh rakan sekampung seangkatan dengannya ketika dalam perjuangan untuk merealisasikan wawasannya.Sesungguhnya arwah telah meninggalkan sesuatu yang amat bernilai untuk diteladani.

10 Fakta Penting Tentang Warga Peribumi Kampung Lama:
1. Orang yang paling awal memiliki lesen kenderaan dan boleh memandu kereta ialah Pak Teh Lah (kini berumur 80 tahun lebih)
2. Satu-satunya warga yang memiliki lesen dan boleh memandu tractor ialah Chu Lin( kini berusia hampir 80 thn thn).
3. Orang yang paling lama menyaguh basikal yang sama dan masih kekal dengan basikal lamanya hingga kini ialah Pak Long Napiah ( Usia dalam lingkungan 73 thn)
4. Tukang Rumah paling awal ialah Pak Lang Hem dan Bang Sin ( Arwah) .Pak Lang Hem memiliki rambut yang paling lebat dan hitam belegam ala rockers hingga kini ( berusia hampir 80 thn).
5. Orang yang terawal masuk Universiti ialah Arwah Aziz Ariffin ( Arwah Adinda saya)
6. Pengerusi JKK pertama ialah Chu Jit( Arwah Cikgu Md. Isa)
7.Orang yang paling kuat berjalan kaki ialah KakTon.
8. Orang pertama menjadi inspector ialah Pak Tuan Syed ( Inspector Bas laaa...).
9.Orang yang paling awal memiliki radio ialah Arwah Bang Man Tok Iman Hj. Saad( bekas suami Kak Ton)
10.Orang pertama yang diiktiraf paling kuat temberang/cakap bohong ialah ?????????????

Selamat melangkah ke era wawasan.......

Sunday, March 11, 2007

Sejenak Bersama Rahmad Di Warung Capati

" On March 10, 1876, Alexander Graham Bell conducted the first successful experiment with the telephone. This breakthrough, during which he uttered his famous directive to his assistant, Thomas Watson, is recorded in the March 10 entry of his Lab Notebook."...Bagitulah bunyinya serangkap daripada catatan sejarah dunia komunikasi yang langsung mengubah sistem komunikasi sejagat.

Tidak terlintas difikiran bahawa 10 Mac bukan sahaja bermakna kepada dunia komunikasi namun saya menyambutnya setiap tahun kerana ianya ada kaitan dengan ulangtahun hari kelahiran saya. Kekadang pada 10 Mac yang keramat itu membawa pelbagai peristiwa yang sukar dijangka. 10 Mac yang baru lalu juga tidak terkecuali.

Deringan talifon Nokia yang ada pada saya mungkin membingungkan Alexander GB jika dia dapat mendengarinya atau mungkin juga dia sendiri rasa ketakutan menghampirinya meski pun namanya terpahat dalam lipatan sejarah sebagai pencipta alat komunikasi itu. Deringan pada 10 Mac yang lalu bukan dari panggilan Alexander GB mau pun Thomas Watson tetapi dari seorang rakan yang sudah suku abad tidak bertemu.

" Assalamulaikum ...ini Cikgu Abdullah?" Suara yang pertama saya dengar itu nyata terlalu asing bagi telinga saya.

" Ya...saya..." Jawab saya ringkas.

" Cikgu biasa study di UKM? Biasa dengar Zakaria Abas...... kini Prof kat UUM...Ingat Sulaiman Nadiji? Ingat Nazri?...." Soalan yang selaju air banjir depan rumah saya dahulu seakan-akan terperangkat dalam minda saya.

Saya amat kenal dengan semua yang disebut oleh Rahmad kerana antara kami amat rapat semasa studi di UKM dulu. Zakaria kini bergelar Prof dan seorang dekan di UUM. Beliau sewajarnya mencapai tahap itu kerana ia memang seorang yang gigih berusaha. Sulaiman rakan dari Perlis barangkali kini sudah pun bersara adalah seorang Peguasa Kastam sementara Nazri yang terakhir saya temui bertugas sebagai Accountant Kanan di Perbendaharaan di P. Pinang. Rahmad sendiri kini seorang pegawai kanan di RHB Bank di Melaka.

" Semua saya ingat dan kenal " Jawab saya ringkas.

" Saya Rahmad...Cikgu kenal lagi?.."

" Ya...ya....Rahmad..dari Johor kan?" Saya pasti rakan sekuliah di UKM dahulu. Saya pasti tidak silap. Dalam kepala saya terbayang bagaimanakah rupa kawan saya ini.Mungkin 20 tahun telah mengubah segala-galanya. Kami tidak sempat berbual panjang malam itu kerana beliau ada program tersendiri . Namun kami berjanji untuk bersarapan bersama-sama pada keesokkan harinya.

Pada paginya 11 Mac saya mengambil peluang bertemu rakan saya yang sudah lebih 20 tahun tidak ketemu. Rupa-rupanya dia sama seperti Rahmad yang saya kenal dahulu juga. Seorang peramah dan mudah berbicara.

Kami sama-sama bersarapan di Warung Capati bersebelahan Pusat Dakwah Jitra yang dalam pembinaan. Di situ sahajalah satu-satu warung untuk sarapan pagi yang sesuai untuk tetamu di Jitra ini.

Amat tidak disangka apabila beliau mengatakan bahawa beliau sering berada di Jitra hampir 5 tahun lebih berulangalik dari KL ke sini namun tidak pernah menyangka bahawa saya berda di sini.

Pertemuan ini berlaku secara kebetulan apabila beliau datang untuk Hari Konvo di UUM.Di situ beliau secara kebetulan bertemu dengan Zakaria Abas juga rakan sekuliah di UKM dahulu- kini Dr. Zakaria juga seorang Dekan di UUM.

Kami tidak sempat berbual panjang dalam masa yang terhad kerana beliau ingin segera pulang ke KL Namun pertemuan itu sendiri sudah cukup untuk mengenangkan kembali kisah-kisah lama semasa diUKM.Ramai kawan-kawan sekuliah dahulu sudah tidak dapat dihubungi. Antara paling diingati ialah Sdra. Faris Keling yang kali terakhir bertugas sebagai Akauntant dengan KTM.Juga saudara Anuar yang setahu saya bertugas sebagai Akauntant di Bank Negara di Kuala Lumpur. Mereka banyak mewarnai penghidupan saya dan rakan-rakan semasa di kampus dahulu dengan pelbagai gelagat yang sukar dilupakan.

Tuesday, February 27, 2007

Payung Corner Yang Keramat

Antara tempat bertugas yang saya lalui ialah di IPDA bermula sebagai pensyarah Perdagangan/Perakaunan kemudiannya sebagai Ketua Unit Perdagangan/Perakauan. Setelah lima di situ saya diamanahkan memegang tugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Kajian Sosial.Ketika itulah saya telah mengambil keputusan meninggal IPDA apabila kelesaan dan hilang minat tetiba semakin menjunam.

Di IPDAlah saya bertemu dengan pelbagai ragam rakan-rakan yang sama-sama melalui pengalaman yang agak istemewa.Kesibukan tidak menghalang kami daripada membuat jaringan persahabatan yang kekal hingga ke hari ini.Ramai juga rakan-rakan pensayarah yang sudah pun bersara.Kenangan bersama mereka sukar dilupakan khususnya ketika bersama-sama di Payung Corner.

Di tengah -tengah kesesakan nafas memburu waktu yang amat terbatas saya sempat juga turut serta bersama-sama rakan-rakan lain yang telah menjadi penyunjung tetap dan dominan Payung Corner .Di situlah satu-satunya 'Hot Spot' bagi kami ketika itu untuk meringankan pelbagai "tention" yang meruntun jiwa dan raga.

" Hot Spot" ini merupakan sebahagian daripada Caferia IPDA yang sentiasa tidak putus-putus dikunjungi ahli-ahli tetap dan peserta "lalu dan tenggek seminit" yang lebih dianggap sebagai " spyware" pengurusan . Payung Corner yang begitu popular di kalangan kritikus-kritikus "songsang" merupakan tempat melepas "tention" yang tidak ada penghujungnya.Di situ terdapat beberapa kerusi lusuh dan hampir patah kaki dan sekaki payung ala " pasar malam". Suasana di Payung Corner bagaikan " mad house" yang menggoncangkan dan mencetuskan pebagai isu dari sekecil-kecil isu peribadi hingga kepada isu seharian yang berlaku di depan mata membawa kepada isu global untuk dikupasulas secara logik atau pun secara emosi.Tidak ada kuasa mana-mana "ahli" yang boleh menyekatnya. Justeru tidak ramai dikalangan mereka yang sanggup berdepan dengan provokasi yang meluap-luap itu berani atau mencuba menghampiri Payung Corner.

Suasana "payung memayung" di Payung Corner bukan asing kepada mereka yang biasa menenggek di sini . Disitulah pengunjungnya belajar erti kebijaksanaan dan kebodohan dan disitu jugalah mematangkan ketahanan mental mereka yang pastinya dicabar kuat hanya beberapa saat sahaja meletakan punggung di bangku buruk di situ. Justeru ramai yang gemar memilih menjadi peserta "lalu dan tenggek seminit" atau mengelak melintasi Payung Corner.

Kini Payung Corner hanya tinggal dalam lipatan sejarah yang mengabadikan nama "tokoh-tokoh" kental seperti Chubb Panjang, Jamil Sport Sec (Tongkang Yatt) , Pin Jerlun , Saha Hutan Kampung, Jusni ITC( Pencipta Logo PC) ,Rahim (Seni / Theatre) ,Non Abidin Serdang (Professor) , Mud Hutan Kampung dan banyak lagi nama-nama besar yang tidak dapat diingati.

Tuesday, January 30, 2007

Minggu Orientasi Zaman Saya

Baru-baru ini saya terbaca dalam sebuah akhbar bagaimana seorang pelajar yang baru masuk ke asrama Sekolah Menengah Teknik Bintulu telah meninggal dunia akibat di"buli" oleh pelajar-pelajar senior dalam minggu orientasi sekolah tersebut. Kejadian seumpama ini bukannya yang pertama terjadi di asrama sekolah-sekolah kita malah berkali-kali dan ianya seolah-olah suatu trend yang sukar dibendung.

Ketika zaman saya dahulu pun perkara "raging" dalam minggu orientasi baik di asrama sekolah atau hostel di maktab Perguruan mahu pun di peringkat Universiti sekali pun "raging" telah wujud. Namun seingat kita belum pernah terdengar mana-mana freshies yang maut akibat perbuatan "raging" seperti yang kita sering dengar hari ini.Kadang-kadang saya terfikir mungkinkah budak-budak kita hari ini hidup macam ayam daging. Sedikit sahaja kejutan lalu akan tergoleklah ia. Atau mungkin abang-abang senior mereka kini jauh lebih ganas tidak seperti abang senior zaman kami. Mungkin mereka berguru dengan adegan-adegan ganas melampau yang boleh mereka dapati daripada pelbagai media. Tanpa disedari lama-kelamaan telah menjadi sebahagian hidup mereka.Apabila ianya sudah menjadi kebiasaan maka kelak tiada siapa nanti akan terperanjat bila kejadian malang itu terus berleluasa.Orang tiada rasa simpati atau tiada lagi mengenal belas kasihan.

Pada awal tahu 70an saya melangkah masuk sebagai salah seorang freshy di Politeknik Ungku Omar, di Ipoh Perak mengikuti Kursus Diploma Perakaunan iaitu satu-satunya kursus peringkat diploma yang ditawarkan di PUO ketika itu. Kedatangan saya dan rakan-rakan freshy memang dinanti-nantikan oleh abang-abang senior persis buaya lapar. Sementara abang-abang senior bukan main siap badan untuk "ngap" freshy-freshy perempuan yang dahi licin sementara kami bersiap sedia untuk diperlakukan persis hamba abdi.Minggu orientasi selama tujuh hari itu sesunggungnya merupakan hari-hari yang penuh "azab sengsara".

Pada Minggu Orientasi (MO) saya agak terselamat daripada di"dera" oleh abang-abang senior kerana secara kebetulan salah seorang AJK MO adalah budak tempat saya maksudnya crony saya. Dulu-dulu pun dah ada amalan crony ni. Tidak lah teruk sangat kena bantai.

Pada waktu siang hingga ke malam program dipenuhi oleh aktiviti-aktiviti berkumpulan dan ceramah-ceramah hingga jam 10.00 malam. Selepas itu "kekejaman" mula mengisi di setiap ruang hidup seorang freshy.

Saya masih ingat betapa beberapa orang kawan saya "diseksa" dengan pelbagai cara kerana mereka ini dianggap oleh abang-abang senior sebagai "tidak hormat" pada mereka.Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku yang dikatakan "tidak hormat" itu.Kekadang budak-budak senior berlagak macam seorang general tentera. Arahan mereka perlu di patuhi.Jika tidak bersedialah lah menerima "hukuman".

Ada antara mereka yang dihukum merangkak dengan siku dari tingkat satu hostel hingga ke tingkat tiga dan merangkak turun semula.Kadang-kadang sampai jam 3 pagi .Ada yang kena "pilot test" iaitu membongkok dan memusing satu badan.Perbuatan begitu menyebabkan ia menjadi pening terhoyung hayang. Perkataan lucah dan seumpama dengannya adalah biasa kepada kami freshy.Adakalanya provokasi menjadi alat mereka mendera budak-budak baru.

Kian sampai ke penghujung MO maka kian kuranglah segala bentuk "seksaan" dan provikasi .Akan kelihatanlah abang-abang senior mula berdua-duaan dengan budak freshy perempuan.Kami tengok sahaja tak berani tunjuk muka.

Pada malam terakhir minggu orientasi diadakan Malam Bakat Freshy yang penuh dengan program hiburan.Seronok bukan main kami kerana minggu seksaan telah selesai. Namun dalam diam-diam ada juga budak-budak senior dalam blok bangunan hostel masing-masing mengadakan acara memberi tauliah kepada beberapa freshy terbaik yang tinggal di blok mereka. Freshy terbaik ini di bawa ke tempat sulit untuk siiram air "mawar" sebagai syarat pentauliahan.

Kami ingatkan di tempat mana.Rupa-rupanya dalam tandas. Kawan saya yang"terbaik" pun disuruh minum air yang kemerahan tertakung dalam mangkuk tandas.Air itu dipaksa minum.Rupa--rupanya air "sarbat". Dia kemudianya disuruh memasukkan mukanya ke dalam mangkuk tandas.One,Two,Three!!! lalu tandas pun di flush maka tersiramlah seluruh muka dan kepalanya dengan "mawar".Sebenarnya tandas tersebut ada replika tandas sahaja.

Keesokkan harinya kami tidak lagi memakai uniform freshy .Hubungan yang nyata lebih mesra dengan abang-abang senior yang ketika minggu orientasi amat garang lagaknya.Mereka inilah yang kemudiannya menjadi kawan-kawan baik kami .Berbeza dengan apa yang berlaku masa kini dimana iannya menguwujudkan permusuhan berpanjangan.Seingat saya kekasaran demi kekasaran yang diperlakukan pelajar senior kepada freshy pada zaman saya namun tanpa sedikit pun physical contact. Sesungguhnya ketika itu kemanusiaan kami masih tinggi.Tidak satu nyawa pun yang terkorban berbanding apa yang berlaku kini. Di mana silapnya?


Saturday, January 27, 2007

Capsule Penghidupan II- Kami Sahabat Alam

Bersahabat Dengan Alam
Seperti kebanyakkan kampung tradisional lain ramai penduduk kampung kami mencari rezeki dengan bergiat dalam bidang pertanian sungguh pun ramai antara mereka merupakan kakitangn kerajaan peringkat rendah.Nun di hujung kampung terdampang sawah luas terbentang.Di kala musim menuai alangkah seronoknya bermain serunai dari batang padi, membuat dangau dari jerami padi.Miang satu badan bukan halangannya.Begitulah juga ketika musim hujan seronok bukan main menangkap ikan dengan bubu dan tuak,tahan taut umpan katak pastinya disambar sang haruan.Kekadang bukan sang haruan yang tersangkut tapi sebaliknya sang ular yang memburu katak tersangkut pada taut.Kami buangkan sekali dengan taut ke dalam bendang.Di kala musim timur kami sebuk menangkap lintah kerdau di keringkan lalu menjadikannya sebagai "dengung" wau kemetek.

Pada musim tertentu kami secara berkumpulan sebagai satu rombongan pejalan akan kaki pergi memancing ikan di Lubuk Pusing yang letaknya kira-kira 3 km dari kampung kami.Di Lubuk pusing banyak ikan- seperti ikan boung,ikan taelan, ikan selat serta udang galah dan banyak lagi yang kini sudah jarang dapat dilihat.Ketika itu kami tidak akan pulang tangan kosong.

Menangkap dan memelihara ikan laga(anak karin) bukan asing bagi kami. Kami bagaikan pemburu apabila mengintai-ngintai di celah-celah paya hutan pokok nipah.Bila saja ternampak bueh berwarna keperangan alamatnya kami telah bertemu dengan seekor jaguh ikan laga.Bertambah hitam badannya lagi dikatakan jaguh.Tapi apabila bertemu lawan yang lebih gagah hatta anak sepilai sekali pun badan sang jaguh tadi pun bertukar kebelangan menandakan ia hanya jaguh kampung. Menangkapnya amat mudah kerana kami sudah ada kemahiran yang tinggi dalam hal itu.


Sungai Alor Changleh Menyimpan Kenangan
Sebelum adanya Sungai Alor Changleh terdapat sebatang sungai asli yang mengalir di tepi kampung kami.Namun apabila kerajaan menggali Sungai Alor Changleh laluan air ke sungai lama dihala ku Sungai Alor Changleh. Maka fungsi sungai asli terkubur.Kini sungai asal tersebut hanya sebagai "alor" sahaja dan sebahagian daripadanya telah tertimbus.Tinggalan pintu kawalan air ( tandop kecil) masih terdapat di sana.Air di sungai asli ini dahulunya sangat bersih dan jernihnya tiada bandingan.Namun itu semua hanya sejarah.

Pada kami budak-budak kampung Sungai Alor Changleh yang mengalir ke arah Pekan Jitra banyak menyimpan kenangan.Di situlah kami bermandi manda,bermain dan kadangkala mengadakan acara "lawan selam", "lawan lala"dan "lawan mengapai" dan "main kelempong " dan banyak lagi aktiviti yang aku sudah tidak ingat.Mandi sungai ada kelebihannya. Pada pagi hari sebelum kesekolah kami mandi di sungai.Kami mengambil masa beberapa minit termenung kerana kesejokan sebelum telanjang bulat dan "stan" ke dalam air.Itulah boleh dikatakan setiap hari. Walau pun kami tak pernah jumpa sabun mandi namun gigi tetap kami gosok.Kami tiada ubat gigi yang canggih-canggih.Ubat gigi kami cuba serbuk arang kayu api dicampur garam halus dan digosok dengan jadi kelunjuk .Gigi menjadi lebih putih.

Pada musim kemarau sungai ini biasa hampir kering kontang.Kami ambil peluang menangkap ikan yang banyak di kala itu.

Kini air Sungai Alor Changleh tidak sebersih dahulu lagi dan tebing-tebingnya kian longlai.Fungsi sebagai pembekal air bersih sudah tiada lagi.




Capsule Penghidupan I - Salam Pada Alam

Indahnya KampungKu.
Saya dilahirkan di sebuah kampung yang bernama Kampung Lama kira-kira 58 tahun yang lalu.Kampung kami ketika itu memiliki prasarana dan nilai hidup yang tiada bezanya dengan kampung tradisional yang lain meskipun jaraknya hanya lebih kurang 1 ke 2 Km dari Pekan Jitra yang ketika itu sudah pun menjadi pusat pentadbiran Kerajaan di Daerah Kubang Pasu. Jaraknya yang berhampiran Pekan Jitra menjadikan kami budak-budak kampung mengharungi kehidupan dalam dua persekitaran yang berbeza iaitu kampung dan pekan. Terdapat dua laluan keluar masuk ke kampung kami ke Jitra ketika itu. Satu melalui batas ban Sungai Alor Changleh sementara satu lagi melalui jalan estet menghala ke jalan raya Jitra -Changlon.Ketika masih budak-budak laluan utama kami ialah melalui batas ban sungai Alor Changleh.Kami tidak suka jalan melaui estet yang kelihatan amat gelap. Kini kawasan itu menjadi laluan utama setelah pembangunan Jitra tertumpu di situ . Kawasan estet tebal dulu kini dibarisi beberapa bangunan kerajaan seperti Pejabat Pos,Mahkamah Rendah,Pejabat Mada,Pejabat Talikom,Pejabat Agana Daerah Kubang Pasu ,Bangunan TNB, Pejabat Risda,Kuarters Kakitangn Pertanian serta SMK Seri Mahawangsa. Bangunan Pejabat Hutan sekarang adalah tapak asal kuarters kakitangan pejabat hutan bersama pejabat hutan sendiri.

Besarnya Jasa Almarhum Ayahanda dan Bonda Saya

Almarhum ayahanda saya bernama Ariffin sementara Allayarhamah bonda saya bernama Safura.Almarhum ayahanda saya seorang kakitangan di Majlis Daerah Kubang Pasu sementara bonda saya suri rumah.Namunsaya merasa amat bangga mempunyai ibu bapa yang sangat bertanggungjawab mendidik dan memberi pelajaran yang cukup untuk saya dan adik saya sehingga kami dua beradik berjaya menjejak kaki ke menara gading ketika itu.

Setelah mengharungi pelbagai pancaroba sebelum ke UKM akhirnya saya memilih untuk teruskan kerjaya sebagai seorang guru sementara adik saya yang merupakan kumpulan pertama program Ijazah di UTK/UTM di Jalan Gurney ,K.Lumpur mengikuti Program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam telah kembali ke Rohmatullah ketika di semester akhir pengajiannya kerana serangan Acute Myloid Leukemia.Allah memanggil beliau pulang ketika umur mencecah 24 tahun.Pemergian armarhum adindaku ke Rohmatullah benar-benar memberi kesan mendalam kepada kami sekeluarga khususnya ibu dan bapa saya.


Mengapa Kampung Lama?

Mengikut Almarhum ayahanda saya bagaimana kampung kami mendapat nama "Kampung Lama" sebenarnya ada rahsia tersendiri. Almarhum memberitahu kampung ini pada zaman dahulu adalah antara tempat pertama orang-orang Siam sampai di Utara Kedah .Mereka menjadikan petempatan di sini dan menyara hidup dengan bercucuk tanam.Namun oleh kerana keadaan tanah tanih yang tidak sesuai untuk aktiviti pertanian maka beberapa keluarga telah perpindah mencari kawasan baru yang lebih sesuai untuk aktiviti pertanian sara diri. Antaranya ke Kota Giam,Padang Sera,Pulau Nyior,Napoh,Asun dan beberapa tempat lagi.Kejayaan meneroka kawasan baru menyebabkan ramai dikalangan mereka turut berpindah. Namun apabila sesekali mereka ingin juga menjengok ke tempat asal mereka maka panggilan tempat asal itu ialah tempat yang lama atau kampung yang lama. Dari situ terbitkan nama Kampung Lama.Tidak hairanlah kalau penduduk kampung lama ketika itu rata-rata menjadikan bahasa Thai sebagai media interaksi tetap antara mereka hinggakan jika bercakap melayu pun mempunyai loghat Siam dan tidak hairanlah keluarga kami ada berselerak Asun,Napoh,Kampung Tebing.

Kami sekampung adalah dari satu keturunan .Moyang saya seperti yang tercatat dalam sebuah dokumen yang masih saya simpan ialah Nai Mat bin Nai Chik yang berasal dari Siam.Almarhum ayahanda saya pernah menceritakan bahawa Nai pada pangkal nama moyang saya itu adalah gelaran bagi seorang penguasa bagi sesuatu kawasan. Jelasnya Nai Mat juga di kenali senagai Datuk Jitra iaitu pembesar yang menguasai seluruh Jitra ketika itu.Baru-baru ini saya sempat bertanya kepada seorang yang berumur lebih 85 tahun yang tinggal di Napo dan begitulah juga yang diceritakan kepada saya .

Dari Nai Mat bin Nai Chik inilah bercambahnya cabang-cabang keluarga besar yang ada di Kampung Lama. Perkahwinan kemudiannya sesama pupu dapat menjadikan keluarga besar Nai Mat Bin Nai Chik terus berkembang.Saya tidak tahu bagaimana sebenarnya hubungan sesama keturunan Nai Mat Bin Nai Chik sebelum dilahirkan.Namun dari cerita yang saya dengar ramai keluarga tinggal sebumbung dalam sebuah rumah.Itulah bayangan yang dapatsaya simpulkan betapa eratnya hubungan sesama mereka ketika itu.


Perubahan Sosial Penduduk Kini

Ketika saya kanak-kanak ciri-ciri permuafakatan masih kelihatan menjadi teras ikatan hidup kekeluargaan umpama aur dengan tebing.Cubit paha kanan paha kiri terasa juga ketika itu.Berat sama di pikul ringan sama dijinjing.Namun seperti berlaku di kebanyakkan kampung ciri-ciri itu mula longgar ,pudar dan kini menanti masa untuk runtuh apabila masing -masing sudah merasakan mereka sudah ada status sosial dan ekonomi yang menjadikan perbezaan kelas kehidupan sesama mereka.Perbezaan nilai kehidupan dan pegangan agama yang longgar melunturkan lagi ikatan itu.Saya sendiri kekadang terasa begitu asing jika berkesempatan bersama mereka pada hari-hari raya dan seumpama dengannya.

Kehidupan sudah menjadi berpuak-puak meskipun bilangan keturunan Nai Mat Nai Chik iaitu penduduk asal Kampung Lama kian mengecil kerana ramai generasi muda telah meninggalkan kampung dan menetap di luar termasuk saya sendiri yang kini tinggal di luar kampung tempat kelahiran sendiri . Ramai sekali orang "asing" berhijrah dan menetap di Kampung Lama sejak awal tahun60an hingga kini menjadikan warisan keturunan Nai Mat Nai Chik menjadi kumpulan minoriti dalam tanah tumpah darah nenek moyang mereka sendiri.