Tuesday, January 30, 2007

Minggu Orientasi Zaman Saya

Baru-baru ini saya terbaca dalam sebuah akhbar bagaimana seorang pelajar yang baru masuk ke asrama Sekolah Menengah Teknik Bintulu telah meninggal dunia akibat di"buli" oleh pelajar-pelajar senior dalam minggu orientasi sekolah tersebut. Kejadian seumpama ini bukannya yang pertama terjadi di asrama sekolah-sekolah kita malah berkali-kali dan ianya seolah-olah suatu trend yang sukar dibendung.

Ketika zaman saya dahulu pun perkara "raging" dalam minggu orientasi baik di asrama sekolah atau hostel di maktab Perguruan mahu pun di peringkat Universiti sekali pun "raging" telah wujud. Namun seingat kita belum pernah terdengar mana-mana freshies yang maut akibat perbuatan "raging" seperti yang kita sering dengar hari ini.Kadang-kadang saya terfikir mungkinkah budak-budak kita hari ini hidup macam ayam daging. Sedikit sahaja kejutan lalu akan tergoleklah ia. Atau mungkin abang-abang senior mereka kini jauh lebih ganas tidak seperti abang senior zaman kami. Mungkin mereka berguru dengan adegan-adegan ganas melampau yang boleh mereka dapati daripada pelbagai media. Tanpa disedari lama-kelamaan telah menjadi sebahagian hidup mereka.Apabila ianya sudah menjadi kebiasaan maka kelak tiada siapa nanti akan terperanjat bila kejadian malang itu terus berleluasa.Orang tiada rasa simpati atau tiada lagi mengenal belas kasihan.

Pada awal tahu 70an saya melangkah masuk sebagai salah seorang freshy di Politeknik Ungku Omar, di Ipoh Perak mengikuti Kursus Diploma Perakaunan iaitu satu-satunya kursus peringkat diploma yang ditawarkan di PUO ketika itu. Kedatangan saya dan rakan-rakan freshy memang dinanti-nantikan oleh abang-abang senior persis buaya lapar. Sementara abang-abang senior bukan main siap badan untuk "ngap" freshy-freshy perempuan yang dahi licin sementara kami bersiap sedia untuk diperlakukan persis hamba abdi.Minggu orientasi selama tujuh hari itu sesunggungnya merupakan hari-hari yang penuh "azab sengsara".

Pada Minggu Orientasi (MO) saya agak terselamat daripada di"dera" oleh abang-abang senior kerana secara kebetulan salah seorang AJK MO adalah budak tempat saya maksudnya crony saya. Dulu-dulu pun dah ada amalan crony ni. Tidak lah teruk sangat kena bantai.

Pada waktu siang hingga ke malam program dipenuhi oleh aktiviti-aktiviti berkumpulan dan ceramah-ceramah hingga jam 10.00 malam. Selepas itu "kekejaman" mula mengisi di setiap ruang hidup seorang freshy.

Saya masih ingat betapa beberapa orang kawan saya "diseksa" dengan pelbagai cara kerana mereka ini dianggap oleh abang-abang senior sebagai "tidak hormat" pada mereka.Saya sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku yang dikatakan "tidak hormat" itu.Kekadang budak-budak senior berlagak macam seorang general tentera. Arahan mereka perlu di patuhi.Jika tidak bersedialah lah menerima "hukuman".

Ada antara mereka yang dihukum merangkak dengan siku dari tingkat satu hostel hingga ke tingkat tiga dan merangkak turun semula.Kadang-kadang sampai jam 3 pagi .Ada yang kena "pilot test" iaitu membongkok dan memusing satu badan.Perbuatan begitu menyebabkan ia menjadi pening terhoyung hayang. Perkataan lucah dan seumpama dengannya adalah biasa kepada kami freshy.Adakalanya provokasi menjadi alat mereka mendera budak-budak baru.

Kian sampai ke penghujung MO maka kian kuranglah segala bentuk "seksaan" dan provikasi .Akan kelihatanlah abang-abang senior mula berdua-duaan dengan budak freshy perempuan.Kami tengok sahaja tak berani tunjuk muka.

Pada malam terakhir minggu orientasi diadakan Malam Bakat Freshy yang penuh dengan program hiburan.Seronok bukan main kami kerana minggu seksaan telah selesai. Namun dalam diam-diam ada juga budak-budak senior dalam blok bangunan hostel masing-masing mengadakan acara memberi tauliah kepada beberapa freshy terbaik yang tinggal di blok mereka. Freshy terbaik ini di bawa ke tempat sulit untuk siiram air "mawar" sebagai syarat pentauliahan.

Kami ingatkan di tempat mana.Rupa-rupanya dalam tandas. Kawan saya yang"terbaik" pun disuruh minum air yang kemerahan tertakung dalam mangkuk tandas.Air itu dipaksa minum.Rupa--rupanya air "sarbat". Dia kemudianya disuruh memasukkan mukanya ke dalam mangkuk tandas.One,Two,Three!!! lalu tandas pun di flush maka tersiramlah seluruh muka dan kepalanya dengan "mawar".Sebenarnya tandas tersebut ada replika tandas sahaja.

Keesokkan harinya kami tidak lagi memakai uniform freshy .Hubungan yang nyata lebih mesra dengan abang-abang senior yang ketika minggu orientasi amat garang lagaknya.Mereka inilah yang kemudiannya menjadi kawan-kawan baik kami .Berbeza dengan apa yang berlaku masa kini dimana iannya menguwujudkan permusuhan berpanjangan.Seingat saya kekasaran demi kekasaran yang diperlakukan pelajar senior kepada freshy pada zaman saya namun tanpa sedikit pun physical contact. Sesungguhnya ketika itu kemanusiaan kami masih tinggi.Tidak satu nyawa pun yang terkorban berbanding apa yang berlaku kini. Di mana silapnya?


No comments: