Saturday, January 27, 2007

Capsule Penghidupan I - Salam Pada Alam

Indahnya KampungKu.
Saya dilahirkan di sebuah kampung yang bernama Kampung Lama kira-kira 58 tahun yang lalu.Kampung kami ketika itu memiliki prasarana dan nilai hidup yang tiada bezanya dengan kampung tradisional yang lain meskipun jaraknya hanya lebih kurang 1 ke 2 Km dari Pekan Jitra yang ketika itu sudah pun menjadi pusat pentadbiran Kerajaan di Daerah Kubang Pasu. Jaraknya yang berhampiran Pekan Jitra menjadikan kami budak-budak kampung mengharungi kehidupan dalam dua persekitaran yang berbeza iaitu kampung dan pekan. Terdapat dua laluan keluar masuk ke kampung kami ke Jitra ketika itu. Satu melalui batas ban Sungai Alor Changleh sementara satu lagi melalui jalan estet menghala ke jalan raya Jitra -Changlon.Ketika masih budak-budak laluan utama kami ialah melalui batas ban sungai Alor Changleh.Kami tidak suka jalan melaui estet yang kelihatan amat gelap. Kini kawasan itu menjadi laluan utama setelah pembangunan Jitra tertumpu di situ . Kawasan estet tebal dulu kini dibarisi beberapa bangunan kerajaan seperti Pejabat Pos,Mahkamah Rendah,Pejabat Mada,Pejabat Talikom,Pejabat Agana Daerah Kubang Pasu ,Bangunan TNB, Pejabat Risda,Kuarters Kakitangn Pertanian serta SMK Seri Mahawangsa. Bangunan Pejabat Hutan sekarang adalah tapak asal kuarters kakitangan pejabat hutan bersama pejabat hutan sendiri.

Besarnya Jasa Almarhum Ayahanda dan Bonda Saya

Almarhum ayahanda saya bernama Ariffin sementara Allayarhamah bonda saya bernama Safura.Almarhum ayahanda saya seorang kakitangan di Majlis Daerah Kubang Pasu sementara bonda saya suri rumah.Namunsaya merasa amat bangga mempunyai ibu bapa yang sangat bertanggungjawab mendidik dan memberi pelajaran yang cukup untuk saya dan adik saya sehingga kami dua beradik berjaya menjejak kaki ke menara gading ketika itu.

Setelah mengharungi pelbagai pancaroba sebelum ke UKM akhirnya saya memilih untuk teruskan kerjaya sebagai seorang guru sementara adik saya yang merupakan kumpulan pertama program Ijazah di UTK/UTM di Jalan Gurney ,K.Lumpur mengikuti Program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam telah kembali ke Rohmatullah ketika di semester akhir pengajiannya kerana serangan Acute Myloid Leukemia.Allah memanggil beliau pulang ketika umur mencecah 24 tahun.Pemergian armarhum adindaku ke Rohmatullah benar-benar memberi kesan mendalam kepada kami sekeluarga khususnya ibu dan bapa saya.


Mengapa Kampung Lama?

Mengikut Almarhum ayahanda saya bagaimana kampung kami mendapat nama "Kampung Lama" sebenarnya ada rahsia tersendiri. Almarhum memberitahu kampung ini pada zaman dahulu adalah antara tempat pertama orang-orang Siam sampai di Utara Kedah .Mereka menjadikan petempatan di sini dan menyara hidup dengan bercucuk tanam.Namun oleh kerana keadaan tanah tanih yang tidak sesuai untuk aktiviti pertanian maka beberapa keluarga telah perpindah mencari kawasan baru yang lebih sesuai untuk aktiviti pertanian sara diri. Antaranya ke Kota Giam,Padang Sera,Pulau Nyior,Napoh,Asun dan beberapa tempat lagi.Kejayaan meneroka kawasan baru menyebabkan ramai dikalangan mereka turut berpindah. Namun apabila sesekali mereka ingin juga menjengok ke tempat asal mereka maka panggilan tempat asal itu ialah tempat yang lama atau kampung yang lama. Dari situ terbitkan nama Kampung Lama.Tidak hairanlah kalau penduduk kampung lama ketika itu rata-rata menjadikan bahasa Thai sebagai media interaksi tetap antara mereka hinggakan jika bercakap melayu pun mempunyai loghat Siam dan tidak hairanlah keluarga kami ada berselerak Asun,Napoh,Kampung Tebing.

Kami sekampung adalah dari satu keturunan .Moyang saya seperti yang tercatat dalam sebuah dokumen yang masih saya simpan ialah Nai Mat bin Nai Chik yang berasal dari Siam.Almarhum ayahanda saya pernah menceritakan bahawa Nai pada pangkal nama moyang saya itu adalah gelaran bagi seorang penguasa bagi sesuatu kawasan. Jelasnya Nai Mat juga di kenali senagai Datuk Jitra iaitu pembesar yang menguasai seluruh Jitra ketika itu.Baru-baru ini saya sempat bertanya kepada seorang yang berumur lebih 85 tahun yang tinggal di Napo dan begitulah juga yang diceritakan kepada saya .

Dari Nai Mat bin Nai Chik inilah bercambahnya cabang-cabang keluarga besar yang ada di Kampung Lama. Perkahwinan kemudiannya sesama pupu dapat menjadikan keluarga besar Nai Mat Bin Nai Chik terus berkembang.Saya tidak tahu bagaimana sebenarnya hubungan sesama keturunan Nai Mat Bin Nai Chik sebelum dilahirkan.Namun dari cerita yang saya dengar ramai keluarga tinggal sebumbung dalam sebuah rumah.Itulah bayangan yang dapatsaya simpulkan betapa eratnya hubungan sesama mereka ketika itu.


Perubahan Sosial Penduduk Kini

Ketika saya kanak-kanak ciri-ciri permuafakatan masih kelihatan menjadi teras ikatan hidup kekeluargaan umpama aur dengan tebing.Cubit paha kanan paha kiri terasa juga ketika itu.Berat sama di pikul ringan sama dijinjing.Namun seperti berlaku di kebanyakkan kampung ciri-ciri itu mula longgar ,pudar dan kini menanti masa untuk runtuh apabila masing -masing sudah merasakan mereka sudah ada status sosial dan ekonomi yang menjadikan perbezaan kelas kehidupan sesama mereka.Perbezaan nilai kehidupan dan pegangan agama yang longgar melunturkan lagi ikatan itu.Saya sendiri kekadang terasa begitu asing jika berkesempatan bersama mereka pada hari-hari raya dan seumpama dengannya.

Kehidupan sudah menjadi berpuak-puak meskipun bilangan keturunan Nai Mat Nai Chik iaitu penduduk asal Kampung Lama kian mengecil kerana ramai generasi muda telah meninggalkan kampung dan menetap di luar termasuk saya sendiri yang kini tinggal di luar kampung tempat kelahiran sendiri . Ramai sekali orang "asing" berhijrah dan menetap di Kampung Lama sejak awal tahun60an hingga kini menjadikan warisan keturunan Nai Mat Nai Chik menjadi kumpulan minoriti dalam tanah tumpah darah nenek moyang mereka sendiri.

No comments: