Sunday, April 8, 2007

Kampung Lama Ke Arah Kampung Wawasan

Warga Kampung Lama( KL) sewajarnya menyambut baik dan merasa bertuah dengan berita bahawa kampung mereka secara sistematik akan berubah wajah sebagai Kampung Wawasan. Saya tidak pasti bagaimana nanti rupa KL apabila berstatus Kampung Wawasan kelak namun yang pasti wajah fizikal akan berubah sesuai dengan status baru nanti. Wajah kampung akan bertukar menjadi kampung dalam taman dengan infrastruktur yang lebih tersusun.Jika Langkawi berubah wajah kerana dikatakan sudah berakhirnya sumpahan Mahsuri selama tujuh keturunan maka apa yang akan berlaku kepada Kampung Lama selepas ini mungkin tiada kaitan dengan situasi yang serupa.

Setiap orang penduduk Kg. Lama perlu lebih bersedia untuk mengubah lebih dari semata-mata prasarana tetapi juga perubahan cara berfikir berorientasikan ciri progressif dan berwawasan. Barangkali tugas berat sedang menanti warga Kampung Lama untuk berusaha mengubah cara mereka berfikir.Dari jumud kepada keterbukaan, dari "simple minded" kepada lebih kompleks, dari "self-centric" kepada "one for all and all for one".

Hari Raya Di Bawah Pokok Cempaka
Masih segar dalam ingatan saya ketika saya masih kanak-kanak betapa warga kampung tersebut menyambut hari raya aidil fitri mahu pun hari raya aidil adha dengan cara yang jauh menyimpang daripada ajaran agama mereka.Mereka akan duduk bersila sesama mereka di bawak pokok cempaka Tok Sah dan bermain judi sepanjang hari.Bukan salah mereka kerana hampir semua kampung di kawasan ini ketika itu melakukan aktiviti yang serupa. Namun selepas generasi mereka amalan tersebut ditinggalkan tahun demi tahun.Itu adalah satu perubahan yang cukup baik. Selepas itu ramai kaum ibu berjinak-jinak dengan pengajian agama apabila mereka sedia berjalan kaki sejauh lebih 2 km ke Pondok Haji Wan Leh untuk menimba ilmu agama pada setiap Jumaat.Peliknya ketika itu tidak ramai kaum bapa yang berbuat demikian mungkin kerana ada urusan lain atau tidak berminat.Allahwualam.

Kelas Dewasa/Buta Huruf
Sebagai usaha kerajaan selepas merdeka untuk membasmikan buta huruf di kalangan rakyatnya maka kerajaan mengadakan program pembasmian buta huruf secara terancang dengan melalui penganjuran Kelas Dewasa/Buta Huruf di kampung-kampung termasuk di Kampung Lama sekitar pertengahan tahun 60'an.Tempatnya di rumah Tok Aji Ali sebab Kampung Lama tiada dewan untuk tujuan itu.

Macam-macam cerita menarik dalam kelas tersebut. Antara yang diceritakan oleh seorang warga emas yang turut serta dalam pengajian tersebut tentang peristiwa yang berlaku di sebuah kampung lain.

Katanya apabila tiba masa untuk Kelas Dewasa/Buta Huruf yang diadakan di kampung dengan guru bernama Haji Hud ( bukan nama sebenar) maka riuh rendah mereka di belakang kelas. Haji Hud yang gigih membantu mereka mengenal huruf dan mengeja. Kekadang jika Haji Hud menulis di papan hitam perkataan MATA atau TELINGA atau HIDUNG.

Sampai masa ujian mengeja. Seorang penyelia akan berada di dalam kelas . Haji Hud lalu menulis di papan hitam perkataan MATA lalu bertanya kepada Tok Choh (Bukan mana sebenar).

" Apa itu Bang Choh?". Tok Choh tidak dapat menjawab lalu Haji Hud akan menunjukan dan mengggaru-garukan matanya sebagai panduan. Lantas Bang Choh akan menjawab MATA. Haji Hud tersenyum. Penyelia mengangguk-anggukkan kepala.Begitulah kaedah Haji Hud.

Namun Haji Hud terperangkap juga apabila beliau menulis perkataan "GELANG" di papan hitam.
" Cuba Bang Late sebut apa ni?" Tanya Haji Hud kepada Pak Long Late (bukan nama sebenar). Seperti biasa Pak Long Late mengharapkan bantuan Haji Hud sambil memerhatikan ke arah Penyelia. Terperanjat Haji Hud kerana tiada ada kaedah yang mudah untuk membantu Pak Long Late. Lalu Haji Hud menunjukkan pergelangan tangannya kepada Pak Long Late sambil mengurut-urutkannya .Pak Long Late juga terperanjat kerana perbuatan itu nampak pelik dan luar biasa. Otak "biru" Pak Long Late tidak dapat disekat-sekat lagi hanya menanti masa untuk terpancut dari mulutnya.

" Tak kan hat tu pun nak tanya Bang Haji..." Jawab Pak Long Late.
" Tak apa jawab saja ...senang..jangan malu..malu.." Tegas hati Hud meminta Pak Long Late menjawab. Muka penyelia menjadi merah padam apabila melihat mulut Pak Long Late terkumat kumit...lalu terkeluarlah perkataan yang di luar jangkaan semua yang ada dalam kelas petang itu.

" Ala Cikgu Hj. Hud...loklakla... semua orang jantan ada cuma taklah besak macam tu......" Jawab Pak Long Late antara keluar suara dan tidak. Muka Hj. Hud serta merta merah persis udang bakar.Penyelia yang bersemangat itu tiba-tiba mengeleng-gelengkan kepalanya serta menyampuk" Bukan benda tu Pak Long...cukup Tuan Hj. Hud sila tukar soalan lain..."

Haji Hud yang tenang itu tetiba menjadi kelam kelibut lalu terus berkata, " Kita berhenti di sini..minggu depan kita sambung lagi ujianni...."


Pak Chik Bakar Dan Kampung Lama - Suatu Sinonim
Suatu ketika ramai kaum ibu dan kaum bapa peribumi Kampung Lama terbuka hati lalu sering mengikuti pengajian agama mingguan di Pondok Haji Wan Leh . Keadaan itu menjadikan mereka begitu rapat dengan masyarakat pondok. Minda yang terbuka itulah menimbulkan minat antara mereka untuk membina sebuah surau di tapak tanah seorang daripada mereka di Kampung Lama. Initiatif ini diambil oleh bapa saudara saya yang kami panggil Arwah Pak Chik Bakar. Terbinanya surau itu membolehkankan mereka bersolat berjamaah sekali gus merapatkan pertalian sesama mereka. Anak-anak mereka turut mendapat faedah daripada pandangan jauh Pak Chik Bakar apabila beliau sendiri membuka kelas pengajian al-quran kepada anak-anak di kampungnya.Ketika itu surau kecil itu bukan dimakmurkan mengikut musim tetapi berfungsi sepanjang masa sebagai tempat ibadah dan tempat merancang aktiviti sosial masyarakat kampung.Surau yang terletak ditapak yang beliau wakafkan itu akhirnya diruntuhkan oleh beberapa penduduk kampungnya sendiri lalu dibina sebuah surau yang baru terletak jauh dari tapak asal berkonsepkan surau moden.Tindakan itu tidak mudah melenyapkan nama arwah Pak Chik Bakar dari lipatan sejarah kebangkitan kesedaran penjanaan ilmu dan amalan berjamaah di kampung tersebut. Kini nama Lebai Bakar Bakar sering disebut oleh masyarakat masjid di Kubang Pasu sebagai bapa yang berjaya mendidik sebahagian besar daripada anak-anaknya menjadi orang-orang yang kaya dengan ilmu keagamaan dan berakhlak mulia.

Jika maksud wawasan boleh diertikan sebagai "visionary" maka tentunya kampung wawasan ini mempunyai hala tuju tertentu untuk merancang masa hadapan yang lebih gemilang untuk warganya serta generasi selepas mereka.

Bercakap tentang wawasan saya tidak dapat menolak peranan arwah Pak Chik Bakar adinda kepada arwah bonda saya Safura yang dalam tahun-tahun 70'an sudah memiliki wawasan yang tidak pernah terfikir oleh seorang pun penduduk kampung lama waktu itu. Pak Chik pernah berkata kepada saya bahawa "untuk maju kepala otak kita kena maju terlebih dahulu". Pelbagai cara dan kaedah untuk memajukan "kepala otak".Antaranya perlu rajin belajar , jangan sombong dan angkuh serta rajin berfikir.Saya masih teringat suatu petang di rumah saya beliau perpesan " carilah ilmu kerana ilmu itu akan memandu hidup kamu....." dan " janganlah kamu menjadi hamba kepada harta benda kamu...."

Secara senyap-senyap orang kampung mula melimparkan kritik-kritik beremosi kepada beliau apabila beliau memilih untuk memberi pendidikan formal kepada anak-anaknya di sekolah pondok yang daif di Kodiang ketika itu walhal sebuah sekolah rendah kerajaan hanya di depan kampung kami sahaja. Namun beliau tetap bertegas dengan wawasan untuk anak-anaknya. Hantarkan ke sekolah agama pondok yang rata-rata berkata " tiada masa depan". Beliau dengan tegas mengatakan 20-30 tahun lagi kamu akan tahu......Tidak lama selepas itu beliau memilih untuk berhijrah ke Derang kerana warga kampung halamannya sendiri seolah-olah tidak dapat memahami isi hatinya. Di Derang beliau memulakan penghidupan baru mendidik dan membentuk anak-anaknya hingga berjaya kini.

Nyata anak-anak beliau yang asalnya berlatarbelakangkan pendidikan pondok berakhir dengan segulung ijazah dari Universiti Al-Azhar dan kini menjadi penceramah agama yang disegani. Suara anak perempuan beliau Zaharah suatu ketika dahulu sering berkumandang di RTM Alor Star sebagai penceramah jemputan tetap.Bukan untuk dimegah-megah tetapi itulah hakikat wawasan seorang bekas warga Kampung Lama yang sering dipandang remeh oleh rakan sekampung seangkatan dengannya ketika dalam perjuangan untuk merealisasikan wawasannya.Sesungguhnya arwah telah meninggalkan sesuatu yang amat bernilai untuk diteladani.

10 Fakta Penting Tentang Warga Peribumi Kampung Lama:
1. Orang yang paling awal memiliki lesen kenderaan dan boleh memandu kereta ialah Pak Teh Lah (kini berumur 80 tahun lebih)
2. Satu-satunya warga yang memiliki lesen dan boleh memandu tractor ialah Chu Lin( kini berusia hampir 80 thn thn).
3. Orang yang paling lama menyaguh basikal yang sama dan masih kekal dengan basikal lamanya hingga kini ialah Pak Long Napiah ( Usia dalam lingkungan 73 thn)
4. Tukang Rumah paling awal ialah Pak Lang Hem dan Bang Sin ( Arwah) .Pak Lang Hem memiliki rambut yang paling lebat dan hitam belegam ala rockers hingga kini ( berusia hampir 80 thn).
5. Orang yang terawal masuk Universiti ialah Arwah Aziz Ariffin ( Arwah Adinda saya)
6. Pengerusi JKK pertama ialah Chu Jit( Arwah Cikgu Md. Isa)
7.Orang yang paling kuat berjalan kaki ialah KakTon.
8. Orang pertama menjadi inspector ialah Pak Tuan Syed ( Inspector Bas laaa...).
9.Orang yang paling awal memiliki radio ialah Arwah Bang Man Tok Iman Hj. Saad( bekas suami Kak Ton)
10.Orang pertama yang diiktiraf paling kuat temberang/cakap bohong ialah ?????????????

Selamat melangkah ke era wawasan.......