Monday, December 31, 2007

Roset Buat OSZA

OSZA adalah akronim yang mencamtumkan nama OSMAN DAN ZAHARAH iaitu kedua datuk dan nenek saya.Dari merekalah lahirnya Sapora, Pian, Noh,Syam ,Bakar Dan Zawiyah.Sapora kakak sulung mereka adalah arwah bonda saya sementara yang lain-lain itu merupakan bapa dan emak saudara saya. Kesemua mereka telah kembali ke roh matullah.
Kadang-kadang terfikir juga betapa suatu hari nanti generasi OSZA ini akan menjadi begitu terasing antara satu sama lain walhal ketika generasi emak-emak dan bapa-bapa mereka dahulu keakraban jelas kelihatan .

Bagi diri saya sendiri tidak begitu penting. Namun bagi sepupu saya mereka perlu berbuat sesuatu supaya hubungan sesama generasi selepas mereka tidak terputus begitu sahaja.

Gagasan ini tercetus dalam suatu interaksi sosial yang tidak terancang bersama seorang daripada saudara saya iaitu Shaik Abd. Majid. Matlamat utama ialah untuk mempertemu dan menyatukan semula seluruh Keluarga OSZA daripada pelbagai generasi agar sama-sama dapat mengenali antara satu sama lain. Bertitik tolak dari situlah maka suatu Himpunan Keluarga dirancang yang kami namakan Himpunan Tautan Silatul Rahim Keluarga OSZA. Secara ad hock sebuah Jawatan kuasa kerja ditubuhkan untuk merealisasikan impian ini.

Usaha ini kemudiannya mendapat sambutan luar biasa daripada semua ahli keluarga. Kesediaan mereka menghulurkan wang untuk menjayakan program adalah bukti pengorbanan mereka. .Lalu pada bulan Jun 2007 Himpunan Tautan Silatul Rahim Keluarga OSZA pun berlangsung buat pertama kalinya dalam suasana yang begitu meriah di sebuah restoran tidak jauh dari Jitra. Usaha ini berjaya mengumpulkan hampir 250 orang ahli keluarga OSZA .Lebih membanggakan ialah kesediaan beberapa orang ahli keluarga yang sanggup menaja bagi memastikan program berjalan dengan kos yang mencukupi. Kita rakamkan terima kasih khusus kepada Sdra Dr. Anwar Mat Arshad -anakanda kepada Kak Hjh. Noriah dan Abang Hj. Arshad di atas kesediaan beliau menaja kos menyediakan cenderamata. Juga terima kasih kepada Cikgu Fauziah, Cikgu Habsah dan Cikgu Bashah di atas kesediaan menaja Hadiah /Cenderanmata untuk super warga emas kami yang terdiri daripada Ngah Teh, Pak Lang Ibrahim dan Mak Cik Pian.

Program ramah mesra yang disusun oleh jawatan kuasa memberikan ruang kepada semua generasi bercampur gaul dalam suasana mesra antara mereka. Aturcara untuk kanak-kanak juga diberi keutamaan dalam usaha untuk merapatkan generasi paling bawah itu. Justeru diadakan pertandingan mewarna serta mini sukan yang kelihatan begitu meriah.


Namun kesilapan tidak kadang-kadang sukar dapat dielakkan. Teguran membina bagi menambahbaikan program seperti ini di masa-masa akan datang kita terima dengan minda terbuka. Betapa baik pun cadangan yang disuarakan namun pelaksanaannya memerlukan menelitian yang jitu. Siapa harus menjadi kepala atau ekor tidak penting kepada saya. Yang penting kita saling hormat menghormati dan memastikan seluruh keluarga OSZA merangkumi semua generasi dapat disatukan dalam suasana yang penuh harmoni .


Saya berdoa kehadrat Allah Taala semoga usaha yang telah kita sama-sama rintis ini akan dapat diteruskan di masa-masa hadapan oleh generasi selepas kita.
Saya teringatkan kata-kata pepatah melayu dahulu bahawa sebatang lidi dapat dipatahkan dengan begitu mudah tetapi satu penyapu lidi tidak mudah dipatahkan. Begitulah juga pepatah "biduk lalu kiambang bertaut", "carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum juga", "bersatu kita teguh bercerai kita runtuh","Air dipincang tidak akan putus", " Cubit paha kanan paha kira terasa juga".....dan banyak lagi yang kesemuanya mencerminkan betapa hubungan kekeluargaan itu amat dipelihara oleh datuk nenek kita...Terserahkan kepada kita untuk memikirkannya kembali. Jika bukan kita yang mahu memikirkannya maka siapa lagi yang dapat kita harapkan untuk memikirkannya.Kita kelihatan berjaya kali pertama dan semoga kita terus berjaya di masa-masa akan datang dalam usaha kita menyatupadukan seluruh keluarga OSZA yang kita kasihi ini.

Semoga kita dapat bertemu lagi di tahun 2008.....Selamat tinggal 2007....
.