Tuesday, December 30, 2008

Mancari Makna Baru Di Sebalik Peristiwa Hijrah

GENERASI muda Islam perlu dilengkapkan dengan ilmu dunia dan akhirat untuk menjadi insan cemerlang. Ummah mesti jadikan sejarah penghijrahan, perjuangan Rasulullah pencetus kejayaan.

SEBAGAI junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam.

Nabi Muhammad, bagi mereka bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok lain dalam sejarah kemanusiaan. Baginda adalah rasul junjungan dan insan kamil yang diutus Allah SWT bagi menzahirkan kesempurnaan akhlak manusia.

Baginda manusia paling tinggi martabat kerohaniannya dan paling disayangi Allah SWT. Walaupun Baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan Baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga peristiwa hijrah yang dilalui Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik perpindahan dakwah Nabi daripada peringkat pertama di Makkah yang penuh mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa Baginda sendiri, ke peringkat kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Dari segi pensyariatan agama, hijrah adalah dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Makkah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah serta pandangan alam Islam. Namun, di sebalik dimensi sejarah yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau pada siri ceramah maal hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama umat Islam zaman ini yang berdepan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik serta kebijaksanaan nabi apabila berdepan cabaran dan ancaman semasa.

Oleh Mohd Farid Mohd Shahran
rencanabh@bharian.com.my

KENDURI ARWAH

Majlis kenduri arwah lebih dikenali dengan berkumpul beramai-ramai dengan hidangan jamuan (makanan) di rumah si Mati. Kebiasaannya diadakan sama ada pada hari kematian, dihari kedua, ketiga, ketujuh, keempat puluh, keseratus, setahun dan lebih dari itu bagi mereka yang fanatik kepada kepercayaan ini atau kepada si Mati. Malangnya mereka yang mengerjakan perbuatan ini tidak menyedari bahawa terdapat banyak fatwa-fatwa dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama besar dari kalangan yang bermazhab Syafie telah mengharamkan dan membid’ahkan perbuatan atau amalan yang menjadi tajuk perbincangan dalam tulisan ini.

Di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 146, tercatit pengharaman Imam Syafie rahimahullah tentang perkara yang disebutkan di atas sebagaimana ketegasan beliau dalam fatwanya:

وَيَكْرَهُ اتِّخَاذُ الطَّعَامِ فِى الْيَوْمِ اْلاَوَّلِ وَالثَّالِث وَبَعْدَ اْلاُسْبُوْعِ وَنَقْلُ الطَّعَامِ اِلَى الْقُبُوْرِ

“Dan dilarang (ditegah/makruh) menyediakan makanan pada hari pertama kematian, hari ketiga dan seterusnnya sesudah seminggu. Dilarang juga membawa makanan ke kuburan”.

Imam Syafie dan jumhur ulama-ulama besar (ائمة العلماء الشافعية) yang berpegang kepada mazhab Syafie, dengan berlandaskan kepada hadis-hadis sahih, mereka memfatwakan bahawa yang sewajarnya menyediakan makanan untuk keluarga si Mati adalah jiran, kerabat si Mati atau orang yang datang menziarahi mayat, bukan keluarga (ahli si Mati) sebagaimana fatwa Imam Syafie:

وَاُحِبُّ لِجِيْرَانِ الْمَيِّتِ اَوْذِيْ قَرَابَتِهِ اَنْ يَعْمَلُوْا لاَهْلِ الْمَيِّتِ فِىْ يَوْمِ يَمُوْتُ وَلَيْلَتِهِ طَعَامًا مَا يُشْبِعُهُمْ وَاِنَّ ذَلِكَ سُنَّةٌ.

“Aku suka kalau jiran si Mati atau saudara mara si Mati menyediakan makanan untuk keluarga si Mati pada hari kematian dan malamnya sehingga mengenyangkan mereka. Sesungguhnya itulah amalan yang sunnah”.

Fatwa Imam Syafie di atas ini adalah berdasarkan hadis sahih:

قَالَ عَبْدُ اللهِ بْنِ جَعْفَرَ : لَمَّا جَاءَ نَعْيُ جَعْفَرِ حِيْنَ قُتِلَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : اِصْنَعُوْا لآلِ جَعْفَرِ طَعَامًا فَقَدْ اَتَاهُمْ مَايُشْغِلُهُمْ . (حسنه الترمزى وصححه الحاكم)

“Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan (kesusahan)”.

Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim.

Menurut fatwa Imam Syafie, adalah haram mengadakan kenduri arwah dengan menikmati hidangan di rumah si Mati, terutama jika si Mati termasuk keluarga yang miskin, menanggung beban hutang, meninggalkan anak-anak yatim yang masih kecil dan waris si Mati mempunyai tanggungan perbelanjaan yang besar dan ramai. Tentunya tidak dipertikaikan bahawa makan harta anak-anak yatim hukumnya haram. Telah dinyatakan juga di dalam kitab (اعانة الطالبين) jld. 2. hlm. 146:

وَقَالَ اَيْضًأ : وَيَكْرَهُ الضِّيَافَةُ مِنَ الطَّعَامِ مِنْ اَهْلِ الْمَيِّتِ لاَنَّهُ شَرَعَ فِى السُّرُوْرِ وَهِيَ بِدْعَةٌ

“Imam Syafie berkata lagi: Dibenci bertetamu dengan persiapan makanan yang disediakan oleh ahli si Mati kerana ia adalah sesuatu yang keji dan ia adalah bid’ah”.

Seterusnya di dalam kitab (اعانة الطالبين) juz. 2. hlm. 146 – 147, Imam Syafie rahimahullah berfatwa lagi:

وِمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فَعْلُهُ مَا يَفْعَلُ النَّاسُ مِنَ الْوَحْشَةِ وَالْجَمْعِ وَاْلاَرْبِعِيْنَ بَلْ كَلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ

“Dan antara bid’ah yang mungkar ialah kebiasaan orang yang melahirkan rasa kesedihannya sambil berkumpul beramai-ramai melalui upacara (kenduri arwah) dihari keempat puluh (empat pulu harinya) pada hal semuanya ini adalah haram”.

Ini bermakna mengadakan kenduri arwah (termasuk tahlilan dan yasinan beramai-ramai) dihari pertama kematian, dihari ketiga, dihari ketujuh, dihari keempat puluh, dihari keseratus, setelah setahun kematian dan dihari-hari seterusnya sebagaimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam sekarang adalah perbuatan haram dan bid’ah menurut fatwa Imam Syafie. Oleh itu, mereka yang mendakwa bermazhab Syafie sewajarnya menghentikan perbuatan yang haram dan bid’ah ini sebagai mematuhi wasiat imam yang agung ini.

Seterusnya terdapat dalam kitab yang sama (اعانة الطالبين) juz 2. hlm. 145-146, Mufti yang bermazhab Syafie al-Allamah Ahmad Zaini bin Dahlan rahimahullah menukil fatwa Imam Syafie yang menghukum bid’ah dan mengharamkan kenduri arwah:

وَلاَ شَكَّ اَنَّ مَنْعَ النَّاسِ مِنْ هَذِهِ الْبِدْعَةِ الْمُنْكَرَةِ فِيْهِ اِحْيَاءٌ لِلسُّنَّةِ وَاِمَاتَةٌ لِلْبِدْعَةِ وَفَتْحٌ لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الْخَيْرِ وَغَلْقٌ لِكَثِيْرٍ مِنْ اَبْوَابِ الشَّرِّ ، فَاِنَّ النَّاسَ يَتَكَلَّفُوْنَ تَكَلُّفًا كَثِيْرًا يُؤَدِّيْ اِلَى اَنْ يَكُوْنَ ذَلِكَ الصُّنْعُ مُحَرَّمًا .

“Dan tidak boleh diragukan lagi bahawa melarang (mencegah) manusia dari perbuatan bid’ah yang mungkar demi untuk menghidupkan sunnah dan mematikan (menghapuskan) bid’ah, membuka banyak pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu keburukan dan (kalau dibiarkan bid’ah berterusan) orang-orang (awam) akan terdedah (kepada kejahatan) sehingga memaksa diri mereka melakukan perkara yang haram”.

Kenduri arwah atau lebih dikenali dewasa ini sebagai majlis tahlilan, selamatan atau yasinan, ia dilakukan juga di perkuburan terutama dihari khaul .(خول) Amalan ini termasuk perbuatan yang amat dibenci, ditegah, diharamkan dan dibid’ahkan oleh Imam Syafie rahimahullah sebagaimana yang telah ditegaskan oleh beliau:

مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِنَ اْلاِجْتَمَاعِ عِنْدَ اَهْلِ الْمَيِّتِ وَصُنْعِ الطَّعَامِ مِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ

“Apa yang diamalkan oleh manusia dengan berkumpul dirumah keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk perbuatan bid’ah yang mungkar”. Lihat: اعانة الطالبين juz 2 hlm. 145.

Di dalam kitab fikh (حاشية القليوبي) juz. 1 hlm. 353 atau di kitab قليوبى - عميرة) -(حاشيتان juz. 1 hlm. 414 dapat dinukil ketegasan Imam ar-Ramli rahimahullah yang mana beliau berkata:

قَالَ شَيْخُنَا الرَّمْلِى : وَمِنَ الْبِدَعِ الْمُنْكَرَةِ الْمَكْرُوْهِ فِعْلُهَا كَمَا فِى الرَّوْضَةِ مَا يَفْعَلُهُ النَّاسُ مِمَّا يُسَمَّى الْكِفَارَةَ وَمِنْ صُنْعِ طَعَامِ للاِجْتَمَاعِ عَلَيْهِ قَبْلَ الْمَوْتِ اَوْبَعِدَهُ وَمِنَ الذَّبْحِ عَلَى الْقُبُوْرِ ، بَلْ كُلُّ ذَلِكَ حَرَامٌ اِنْ كَانَ مِنْ مَالٍ مَحْجُوْرٍ وَلَوْ مِنَ التَّركَةِ ، اَوْ مِنْ مَالِ مَيِّتٍ عَلَيْهِ دَيْنٌ وَتَرَتَّبَ عَلَيْهِ ضَرَرٌ اَوْ نَحْوُ ذَلِكَ.

“Telah berkata Syeikh kita ar-Ramli: Antara perbuatan bid’ah yang mungkar jika dikerjakan ialah sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab “Ar-Raudah” iaitu mengerjakan amalan yang disebut “kaffarah” secara menghidangkan makanan agar dapat berkumpul di rumah si Mati sama sebelum atau sesudah kematian, termasuklah (bid’ah yang mungkar) penyembelihan untuk si Mati, malah yang demikian itu semuanya haram terutama jika sekiranya dari harta yang masih dipersengketakan walau sudah ditinggalkan oleh si Mati atau harta yang masih dalam hutang (belum dilunas) atau seumpamanya”.

Di dalam kitab (الفقه على المذاهب الاربعة) jld.1 hlm. 539, ada dijelaskan bahawa:

وَمِنَ الْبِدَعِ الْمَكْرُوْهَةِ مَا يَفْعَلُ الآن مِنْ ذَبْحِ الذَّبَائِحَ عِنْدَ خُرُوْجِ الْمَيِّتِ اَوْ عِنْدَ الْقَبْرِ وَاِعْدَادِ الطَّعَامِ مِمَّنْ يَجْتَمِعُ لِتَّعْزِيَةِ .

“Termasuk bid’ah yang dibenci ialah apa yang menjadi amalan orang sekarang, iaitu menyembelih beberapa sembelihan ketika si Mati telah keluar dari rumah (telah dikebumikan). Ada yang melakukan sehingga kekuburan atau menyediakan makanan kepada sesiapa yang datang berkumpul untuk takziyah”.

Kenduri arwah pada hakikatnya lebih merupakan tradisi dan kepercayaan untuk mengirim pahala bacaan fatihah atau menghadiahkan pahala melalui pembacaan al-Quran terutamanya surah yasin, zikir dan berdoa beramai-ramai yang ditujukan kepada arwah si Mati. Mungkin persoalan ini dianggap isu yang remeh, perkara furu', masalah cabang atau ranting oleh sebahagian masyarakat awam dan dilebih-lebihkan oleh kalangan mubtadi' (مبتدع) "pembuat atau aktivis bid'ah" sehingga amalan ini tidak mahu dipersoalkam oleh pengamalnya tentang haram dan tegahannya dari Imam Syafie rahimahullah dan para ulama yang bermazhab Syafie.

Pada hakikatnya, amalan mengirim atau menghadiahkan pahala bacaan seperti yang dinyatakan di atas adalah persoalan besar yang melibatkan akidah dan ibadah. Wajib diketahui oleh setiap orang yang beriman bahawa masalah akidah dan ibadah tidak boleh dilakukan secara suka-suka (tanpa ada hujjah atau dalil dari Kitab Allah dan Sunnah RasulNya), tidak boleh berpandukan pada anggapan yang disangka baik lantaran ramainya masyarakat yang melakukannya, kerana Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah memberi amaran yang tegas kepada mereka yang suka bertaqlid (meniru) perbuatan orang ramai yang tidak ada dalil atau suruhannya dari syara sebagaimana firmanNya:

وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ اِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلاَّ الظَّنَّ وَاِنْ هُمْ اِلاَّ يَخْرُصُوْنَ

"Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah)".

Al-An'am, 6:116.

Begitu juga sesuatu amalan yang disangkakan ibadah sama ada yang dianggap wajib atau sunnah, maka ia tidak boleh ditentukan oleh akal atau hawa nafsu, antara amalan tersebut ialah amalan kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) maka lantaran ramainya orang yang mengamalkan dan adanya unsur-unsur agama dalam amalan tersebut seperti bacaan al-Quran, zikir, doa dan sebagainya, maka kerananya dengan mudah diangkat dan dikategorikan sebagai ibadah. Sedangkan kita hanya dihalalkan mengikut dan mengamalkan apa yang benar-benar telah disyariatkan oleh al-Quran dan as-Sunnah jika ia dianggap sebagai ibadah sebagaimana firman Allah Azza wa-Jalla:

ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيْعَةٍ مِنَ اْلاَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ لاَ يَعْلَمُوْنَ . اَنَّهُمْ لَنْ يُّغْنُوْا عَنْكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan yang wajib ditaati) dalam urusan (agamamu) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (orang jahil). Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat menolak diri kamu sedikitpun dari siksaan Allah".

Al-Jasiyah, 45:18-19.

Setiap amalan yang dianggap ibadah jika hanya berpandukan kepada andaian mengikut perkiraan akal fikiran, perasaan, keinginan hawa nafsu atau ramainya orang yang melakukan tanpa dirujuk terlebih dahulu kepada al-Quran, as-Sunnah dan athar yang sahih untuk dinilai sama ada haram atau halal, sunnah atau bid'ah, maka perbuatan tersebut adalah suatu kesalahan (haram dan bid’ah) menurut syara sebagaimana yang dijelaskan oleh ayat di atas dan difatwakan oleh Imam Syafie rahimahullah. Memandangkan polemik dan persoalan kenduri arwah kerapkali ditimbulkan dan ditanyakan kepada penulis, maka ia perlu ditangani dan diselesaikan secara syarii (menurut hukum dari al-Quran dan as-Sunnah) serta fatwa para ulama Ahli Sunnah wal-Jamaah dari kalangan Salaf as-Soleh yang muktabar. Dalam membincangkan isu ini pula, maka penulis tumpukan kepada kalangan para ulama dari mazhab Syafie kerana ramai mereka yang bermazhab Syafie menyangka bahawa amalan kenduri arwah, tahlilan, yasinan atau amalan mengirim pahala adalah diajarkan oleh Imam Syafie dan para ulama yang berpegang dengan mazhab Syafie.

Insya-Allah, mudah-mudahan tulisan ini bukan sahaja dapat menjawab pertanyaan bagi mereka yang bertanya, malah akan sampai kepada mereka yang mempersoalkan isu ini, termasuklah mereka yang masih tersalah anggap tentang hukum sebenar kenduri arwah (tahlilan atau yasinan) menurut Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Dipetik dari-
http://rasuldahri.tripod.com/articles/kenduri_arwah.htm

Monday, December 22, 2008

Khutbah terakhir Rasulullah pesanan sepanjang zaman - Oleh Zahid Zamri

KHUTBAH Hujjatul Wada adalah khutbah terakhir Rasulullah SAW. Baginda menyampaikan khutbah itu pada upacara kemuncak ibadat haji iaitu ketika melakukan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, 10 Hijrah.

Seumur hidup, Rasulullah SAW hanya melakukan ibadat haji sekali. Ketika itu, berpuluh ribu rombongan haji dari negara seperti Iraq dan Kuwait turut hadir melaksanakan haji bersama Baginda.

Khutbah Hujjatul Wada penting kerana di dalamnya terkandung mesej yang perlu difahami, diingati dan diikuti umat Islam walaupun selepas Rasulullah SAW wafat. Jika diamati, hampir semua mesej disampaikan Baginda menyentuh hubungan sesama manusia.

Baginda SAW ketika itu sudah mengetahui umurnya tidak panjang dan perlu mengingatkan umat Islam kesimpulan bagi apa yang disampai dan diajarkan kepada ummah sepanjang hidup Baginda.

Antara mesej Rasulullah SAW ialah hak asasi manusia iaitu kesucian darah manusia yang tidak patut ditumpahkan ke muka bumi dengan sia-sia. Semua insan harus bersama menjaga kesucian itu.

Dalam khutbah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Darah dan harta kamu mesti dihormati sehingga kamu bertemu kembali dengan Tuhan kamu. la mesti dihormati seperti kehormatan hari kamu ini (hari Arafah) dan kehormatan bulan kamu ini (bulan haram Zulhijjah).”

Rasulullah SAW turut menyebut mengenai penjagaan harta. Ini adalah mesej kedua terkandung dalam khutbah yang turut menekankan kesucian harta milik seseorang sepatutnya tidak diganggu atau diambil individu lain tanpa persetujuan pemiliknya.

Baginda menambah: “Semua amalan riba dihapuskan. Namun kamu berhak memiliki modal kamu tanpa kamu menzalimi atau dizalimi. Allah (SWT) menetapkan tiada riba (lagi diamalkan).”

Di sini dapat kita lihat amalan riba ditolak sama sekali dalam Islam kerana menindas peminjam dengan mengenakan bayaran kembali dalam jumlah melebihi modal dipinjamkan. Ini menzalimi si peminjam yang kemungkinan besar masih kesempitan wang.

Sistem perbankan dunia kini yang berlandaskan riba juga menyebabkan krisis ekonomi yang menekan negara miskin terutama Negara Dunia Ketiga. Oleh itu, sesiapa yang mengamalkan riba ibarat memerangi Allah (SWT) yang dosanya adalah besar di sisi Allah (SWT).

Dalam khutbah Hujjatul Wada, Rasulullah SAW juga menyebut hak wanita dalam hubungan suami isteri dan masyarakat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Wahai manusia! Kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu dan mereka pula mempunyai hak ke atas kamu.”

Wanita berhak ke atas suaminya untuk menerima nafkah zahir dan batin termasuk tempat berlindung, pakaian dan hubungan intim suami isteri. Wanita juga tidak boleh dijadikan hamba dan ditindas dalam institusi kemasyarakatan.

Baginda SAW menyambung lagi: “Jika mereka melakukannya (kejahatan atau kemungkaran), Allah (SWT) membenarkan kamu untuk meninggalkan tidur dengan mereka dan memukul mereka dengan pukulan tidak keras. Jika mereka berhenti daripada perbuatan ini, mereka berhak mendapat rezeki dan pakaian yang baik. Terimalah pesanan aku untuk berbuat baik dengan wanita ini. Mereka adalah pembantu kamu. Mereka tidak memperoleh apa-apa bagi diri mereka. Kamu mengambil mereka sebagai amanah Allah (SWT) serta menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah (SWT).”

Seterusnya Baginda SAW berpesan supaya berpegang kepada dua sumber utama Islam iaitu kitab al-Quran dan sunnah kerana tidak akan menyesatkan dan tidak hilang sehingga kiamat. Baginda SAW bersabda yang bermaksud; “Fahamilah sabdaku ini, wahai manusia! Sesungguhnya aku sudah menyampaikan. Aku tinggalkan kepada kamu satu perkara yang jelas, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya, (yakni) kitab Allah (SWT) dan sunnah nabi-Nya.”

Akhirnya Rasulullah SAW berpesan semua umat Islam itu bersaudara dan mesti saling mengingati dengan melakukan dakwah, seruan penting bagi sentiasa mengingatkan umat Islam supaya kekal di jalan lurus dan tidak terpengaruh dengan amalan hidup kekafiran.

Baginda SAW bersabda pada hujung pesanan dalam khutbah itu yang bermaksud: “Wahai manusia! Dengar dan fahamilah sabdaku. Kamu tahu bahawa setiap orang Islam saudara (bertanggungjawab) kepada orang Islam yang lain. Sesungguhnya orang Islam bersaudara.”

Pada akhir katanya, Baginda SAW bertanya kepada jemaah haji yang mendengar khutbah itu sama ada Baginda sudah menyampaikan apa yang patut disampaikan sebagai Rasul kepada umatnya. Semua hadirin mengiyakan Baginda sudah melunaskan tanggungjawabnya. Baginda SAW menunjuk ke langit seraya meminta Allah (SWT) menyaksikan peristiwa itu. Tiga kali Baginda bertanya begitu dan mendapat jawapan yang sama daripada jemaah serta bersaksi dengan menunjukkan jarinya ke langit.

Tamatnya khutbah Hujjatul Wada itu, cuma Abu Bakar yang menitiskan air mata kerana beliau memahami kesimpulan khutbah itu ialah Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya dan terpulang kepada kita sebagai pengikutnya untuk mengingati pesanan itu tanpa Baginda yang dikasihi berada di sisi. Persoalannya adakah masyarakat kita hari ini masih mengingati dan mematuhi amanah Baginda kepada kita?

Saturday, December 6, 2008

Selamat Hari Raya Edul Adha


Sila klik pada "play" button.

Friday, December 5, 2008

The meaning of Hari Raya Aidiladha

Aidiladha is also commonly known as Hari Raya Korban or Hari Raya Haji in Malaysia.

Celebrated about two months after Hari Raya Aidilfitri, on the 10th day of Zulhijjah, the 12th (last) month of the Muslim calendar, it marks the end of the haj pilgrimage period (about two weeks).

Every year, millions of Muslims make the journey to Mecca in Saudi Arabia to perform the haj, one of the five basic tenets of Islam.

Aidiladha also commemorates the sacrifices made by the Prophet Ibrahim (hence the word 'korban,' which means sacrifice in Arabic), who demonstrated immense faith when he was put to the test by God.

Prophet Ibrahim was commanded to offer his son Ismail up for sacrifice, and though it grieved him greatly, he made ready to perform the task. However, as he was about to strike his son, God stopped him and revealed that it was a trial. Ismail's life was spared, and a ram was sacrificed in his place.

As such, during Aidiladha, the sacrifice of four-legged animals such as lambs, goats, cows, bulls and camels is performed.

The slaughter of the animal is done after the congregational prayer in the morning of Aidiladha.

The animals are killed in accordance with the proper religious rites and the meat is then distributed.

One third of the meat is given to the individual who made the sacrifice, while the rest is given to the poor and deserving people in the community.

Making the sacrifice (korban) is not a compulsory religious duty, but an obligations for those who are able to afford it.

The rest of the day is celebrated by visiting relatives and friends.

Thursday, December 4, 2008

Di Mana Mencari Sahabat Sejati


ANTARA kemanisan hidup ini apabila seseorang memiliki sahabat yang setia tanpa sebarang kepentingan. Namun hal yang seperti ini amat sukar untuk diperoleh di dunia ini, sekalipun ramai yang selalu mendakwa dia adalah sahabat setia kita. Kita tidak tahu sejauh manakah dakwaan itu sebelum adanya ujian yang sebenar.

Ramai yang pernah mendakwa sedemikian tetapi terbukti berbohong apabila ujian datang melanda. Bahkan banyak persahabatan dalam dunia ini pun terjadi di atas kepentingan tertentu. Maka tidak hairan jika ia akan berakhir disebabkan kepentingan tertentu jua. Bahkan ada persahabatan yang diasaskan di atas kejujuran namun berakhir disebabkan kepentingan.

Memiliki persahabatan yang jujur dalam erti kata sebenar adalah nikmat kehidupan. Namun ia sebenarnya sukar diperoleh secara meluas di alam maya ini melainkan dalam sejarah kehidupan golongan yang beriman dalam makna yang sebenar. Bahkan baginda Nabi s.a.w. menjamin bahawa sesiapa yang mempunyai sahabat tanpa kepentingan melainkan kerana Allah (SWT) semata, maka dia akan mengecapi kemanisan iman. Sabda baginda:

Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. (pertama) Hendaklah Allah (SWT) dan rasul-Nya lebih dicintai mengatasi selain keduanya. (kedua) Hendaklah dia mencintai seseorang, tidak dia cintainya kecuali kerana Allah (SWT). (ketiga) Hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Manisnya tebu tidak dapat digambarkan oleh perkataan buat sesiapa yang tidak pernah merasanya. Manisnya iman, hanya pemiliknya dapat mengecapi kenikmatan dan kekhusyukannya. Dalam tiga ciri tersebut, baginda s.a.w. menyatakan bahawa dengan mencintai seseorang hanya kerana Allah (SWT), akan terasalah manisnya iman. Indahnya kemanisan iman hanya pemiliknya yang faham. Bagaimana mungkin kita dapat membina rasa cinta kepada seseorang kerana Allah (SWT) semata?

Pastilah dek kita tahu hubungan dan kasih sayang kita kepadanya mendapat keredaan Allah (SWT). Mungkin kerana dia orang yang dekat kepada Allah (SWT), atau dia boleh menjadi faktor kita dapat mendekatkan diri kepada Allah (SWT). Apabila perasaan yang seperti itu terbina, kita akan dapat berasa nikmatnya perasaan cintakan seseorang kerana Allah (SWT). Hanya hubungan yang seperti itulah yang membuahkan kesetiaan dan kejujuran yang tidak mampu dibeli oleh pangkat, kedudukan dan harta.

Hubungan persahabatan seperti itu tidak ada di alam gelora manusia yang berkawan dengan seseorang kerana kepentingan atau kedudukan atau harta. Allah (SWT) menyebut dalam al-Quran:

(maksudnya) Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, tidaklah engkau dapat menyatupadukan di antara jantung hati mereka, akan tetapi Allah (SWT) telah menyatupadukan antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Bijaksana (surah al-Anfal: 63).

Ia hanya wujud dalam alam persahabatan yang dibina atas nama iman dan Islam. Maka kita akan lihat kesetiaan antara para pejuang Islam yang ikhlas sepanjang sejarah penuh dengan ajaiban. Mereka hapuskan dalam diari hidup perkataan khianat, kebencian dan permusuhan dari belakang, lalu digantikan dengan “aku kasihkan engkau kerana Allah (SWT).� Kasih itu berkekalan semasa sahabatnya di puncak atau berada di bawah. Sama ada sahabatnya masih hidup, atau setelah meninggalkan dunia ini. Ini kerana tempat rujuk kasih mereka Maha Tinggi Lagi Tiada Kesudahan bagi-Nya, iaitu Allah (SWT) s.w.t. Lihatlah sahabah Nabi s.a.w. Zaid bin al-Dathinah apabila dia ditangkap oleh pemimpin Quraisy yang menentang Nabi s.a.w. lalu dibawa untuk dibunuh dan Abu Sufyan – ketika itu belum menganut Islam- bertanya kepadanya: “Wahai Zaid, aku bertanya engkau dengan nama Allah (SWT), tidakkah engkau suka Muhammad berada di tempat engkau sekarang, kami pancung kepalanya, dan engkau berada di samping keluargamu.� Jawab Zaid: “Aku tidak suka Muhammad berada di mana dia berada sekarang, terkena duri sedangkan aku berada di samping keluargaku.� Kata Abu Sufyan: “Aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang seperti kasihnya sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad.� (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/75 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Ya! Kasih yang mengharapkan hanya ganjaran Allah (SWT). Inilah kasih para pejuang yang sebenar antara mereka.

Persahabatan kerana Allah (SWT), memberi tanpa minta diganti, menyokong tanpa minta disanjung, memuji tidak kerana budi, berkorban tanpa menuntut ganjaran. Namun semuanya hanya mengharapkan kurniaan Allah (SWT) jua yang menjadi punca kecintaan dan kasih sayang itu mekar antara satu sama lain. Sudah pastilah persahabatan itu dibina atas kebenaran yang sentiasa tunduk dan patuh kepada titah Allah (SWT) dan Rasul-Nya. Alangkah indahnya suasana ini. Justeru itu Allah (SWT) memuji golongan Muhajirin dan Ansar lalu dirakam kasih sayang antara mereka dalam al-Quran:

(maksudnya) Bagi golongan fakir yang berhijrah, yang mereka diusir dari kampung halaman dan harta benda mereka (kerana) mencari kurnia daripada Allah (SWT) dan keredaan-Nya. Mereka menolong (agama) Allah (SWT) dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. Orang-orang yang telah mendiami kota (Madinah) dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka itu (Muhajirin), mereka mencintai orang berhijrah kepada mereka. Mereka tiada menaruh sebarang keinginan (balasan) dalam dada mereka terhadap apa- apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka juga memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang- orang yang beruntung. Adapun orang- orang yang datang selepas mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka berdoa: “Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepada kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang� (surah al-Hasyar 8-10).

Hanya insan-insan yang seperti ini sahaja yang akan berasa manisnya perjuangan yang mereka bawa. Ini kerana mereka jelas matlamat yang hendak dituju dan jalan yang hendaklah dilalui. Bebas dari kepentingan diri, yang tinggal hanya kepentingan cita-cita yang suci. Maka tidak ada cerita jatuh-menjatuh antara mereka kerana jawatan dan pangkat. Sebaliknya, sering ingin memberi kerana matlamat mereka adalah keredaan Allah (SWT). Ia tidak dicapai dengan tumpas-menumpas sesama pejuang yang betul niat dan tujuannya. Sebaliknya keredaan itu dicapai dengan sering tolong- menolong kerana Allah (SWT). Jika itu tidak ada, perjuangan itu untuk dunia semata dan pasti dalamnya penuh kepahitan walaupun pada zahir ada harta dan kemewahan.

Dalam hadis Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah (SWT) adanya golongan yang mereka bukan para nabi, atau para syahid. Namun para nabi dan para syahid cemburu kepada mereka pada hari kiamat disebabkan kedudukan mereka di sisi Allah (SWT). Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Beritahulah kami siapakah mereka?� Jawab Nabi: “Mereka itu golongan yang cinta-mencintai dengan roh Allah (SWT), tanpa ada hubungan kekeluargaan dan bukan kerana harta yang diidamkan. Demi Allah (SWT), sesungguhnya wajah-wajah mereka adalah cahaya, mereka berada atas cahaya. Mereka tidak takut pada saat manusia ketakutan, mereka tidak berdukacita ketika manusia berdukacita.� Lalu baginda membaca ayat al-Quran: (maksudnya) Ketahuilah sesungguhnya wali-wali Allah (SWT) tiada ketakutan untuk mereka dan tidak pula mereka berdukacita (hadis riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani). Inilah golongan yang dilindungi Allah (SWT) pada hari kiamat. Di dunia mereka mendapat kenikmatan persahabatan yang jujur dan ikhlas, di akhirat mereka dilindungi Allah (SWT). Nilai persahabatan bukan pada wang atau peluang yang diberi. Atau kedudukan dan kerusi yang disogokkan. Semua itu tiada erti, jika ‘ada udang di sebalik mi’. Sesungguhnya senyuman ikhlas seorang sahabat sejati, lebih bererti dari dunia dan segala isinya, sehingga Nabi s.a.w. menyebut: Senyumanmu buat wajah saudaramu itu adalah sedekah (riwayat al- Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).

Cerita

Kita selalu dengar cerita pengkhianatan sesama sahabat dalam perniagaan, pekerjaan dan politik. Mendengarnya sahaja amat memeritkan, apatah lagi jiwa yang mengalaminya. Amat rapuhnya persahabatan jika dibina di atas kepentingan diri masing-masing. Ditikam oleh musuh, tidak seperit pedihnya seperti ditikam oleh sahabat yang rapat. Dirompak oleh perompak tidak sekecewa ditipu oleh rakan yang dipercaya. Dijatuh oleh lawan tidak sedahsyat direbahkan oleh teman seperjuangan. Namun itu realiti dalam maya pada ini bagi hubungan sesama insan yang tidak dibina atas nama Tuhan. Jika ada pihak yang jujur dalam persahabatan, tetapi pengkhianatan berlaku bererti sama ada dia silap memilih teman, atau prinsip perjuangan. Maka dalam memilih sahabat, lihatlah hubungannya dengan Tuhan dan atas apa kita membina persahabatan dengannya.

Saya rasa dalam dunia perniagaan dan politik, persahabatan sejati amat sukar dicari. Bukan perniagaan atau politik itu kotor; kedua-duanya termasuk dalam ajaran Islam. Namun kedua bidang itu apabila tidak berpandukan ajaran Allah (SWT) dan Rasul-Nya maka akan menjadi sangat rakus, biadab, penuh kepura-puraan, tidak berprinsip, tidak menghargai rakan dan taulan, bicara dan bahasanya penuh kemunafikan. Kepentingan diri masing-masing kadangkala bagai Tuhan yang disembah. Sanggup lakukan apa sahaja demi kepentingan diri, apa yang dia tidak akan lakukan jika perintah oleh Tuhan yang sebenar pun. Banyak perintah agama dia kata tidak mampu, namun jika ada kepentingan politik atau urus niaga lebih daripada itu dia sanggup lakukan. Firman Allah (SWT) dalam surah al-Jathiah, ayat 23:

(maksudnya): Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya Tuhan (yang dipatuhinya), dan dia pula disesatkan oleh Allah (SWT) kerana pengetahuan-Nya (tentang kekufuran mereka), dan ditutup pula atas pendengarannya dan jantungnya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (SWT) (menjadikannya berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu tidak mengingati?.

Betapa ramai orang politik yang dikelilingi para pengikutnya, lalu mereka hilang apabila kuasa tiada lagi. Pada hari dia berkuasa; semuanya menjerit dan memuja, seakan sanggup hidup dan mati bersama. Namun apabila dia tidak mampu lagi memberi harta, pangkat dan kedudukan, melintas pun belum tentu bersalaman. Telah banyak bukti hidup dan mati yang tidak dapat dihitung lagi. Bahkan ada yang sehingga mati tidak dikunjungi. Namun jika anda berharta, sehingga ke pusara ada yang masih tunjuk muka. Bukan kerana kenang jasa, tapi kenang apa yang boleh dipusaka.

Tanpa iman, tiada kasih sayang hakiki dalam persahabatan. Belum tentu ianya ikhlas dari hati sanubari. Mungkin diri anda atau perkara yang sama jika anda lakukan pada hari anda tiada kuasa atau harta, orang sama akan mencebik dan menghina anda. Tetapi dek penangan kuasa dan harta; rupa anda yang ‘biasa-biasa’ dikatakan lawa, pidato anda yang tidak sedap dikatakan hebat, pendapat anda yang kolot dikatakan maju, idea yang lapuk dikatakan bernas, pandangan yang lemah dikatakan berhikmah, penampilan yang tidak bermaya dikatakan bercahaya. Semuanya kerana ingin mengampu kuasa dan harta. Jika anda hidup dalam iklim sedemikian, percayalah persahabatan dan pengikut yang mendakwa setia semuanya bohong belaka. Anda hidup dalam alam khayalan seperti berkhayalnya seorang mabuk yang melihat wanita tua bagaikan gadis yang cantik menawan.

Carilah iman dan persahabatan atas dasar iman. Carilah prinsip perjuangan yang Allah (SWT) reda, kita akan bertemu di sana sahabat-sahabat yang setia kerana Allah (SWT). Jika anda pernah merasai kemanisan iman dan persahabatan atas nama iman, anda akan tahu bahawa persahabatan palsu itu rasanya amat pahit dan meloyakan. Lebih mendukacitakan Allah (SWT) berfirman:

(maksudnya) Sahabat handai pada hari tersebut (kiamat) bermusuhan antara satu sama lain, kecuali golongan yang bertakwa (surah al-Zukhruf: 67).

Ya, seperti di dunia mereka melepaskan diri apabila hilang kepentingan yang dicari, di akhirat mereka bermusuhan apabila melihat azab Tuhan yang terhasil dari dosa persahabatan dan pakatan yang pernah mereka lakukan di dunia. Oh! Di mana hendak dicari teman yang sejati? Ya! Carilah perjuangan yang berprinsip dan diredai Allah (SWT), di dataran itulah kalian akan temui teman sejati.

- - DR. MOHD. ASRI ZAINUL ABIDIN ialah Mantan Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

Wednesday, December 3, 2008

Taubat, muhasabah diri ubati penyakit rohani

MANUSIA mempunyai dua badan iaitu jasmani (tubuh kasar) dan rohani (tubuh halus). Kedua-dua unsur ini saling melengkapi dan mempengaruhi antara satu sama lain. Demi mendapat kebahagiaan hakiki, rohani dan jasmani perlu diletakkan di landasan diredai Allah (SWT).

Rohani atau disebut juga batin, jiwa atau kalbu, sangat berkait rapat dengan tindak-tanduk manusia. Jika rohani tidak sihat atau sakit, sudah tentu tindak-tanduk manusia akan menyeleweng daripada landasan syariat.

Oleh itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap manusia menjaga dan memelihara jiwa supaya tidak dilanda pelbagai penyakit.

Dr Hamzah Ya’qub dalam buku “Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin” mengutarakan pengenalan mengenai penyakit rohani iaitu:

* Sifat buruk dan merosak dalam batin manusia yang mengganggu kebahagiaan.
* Sikap mental yang buruk, merosak dan merintangi peribadi memperoleh keredaan Allah (SWT).
* Sifat dan sikap dalam hati yang tidak diredhai Allah (SWT), sifat dan sikap mental yang cenderung mendorong peribadi melakukan perbuatan buruk dan merosak.

Gambaran di atas menunjukkan mereka yang mengalami penyakit rohani, tingkah laku atau akhlaknya dipengaruhi gejala tidak sihat dan menyalahi peraturan digariskan Islam seperti dengki, pemarah, riak, takbur, terlalu cinta hal keduniaan dan suka berprasangka buruk.

Penyakit rohani yang dikira paling bahaya ialah munafik yang menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya seperti firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah (SWT) dan kepada hari kemudian, padahal mereka sebenarnya bukan orang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang beriman, dan tiadalah mereka tipu melainkan diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tiada sedar. Di hati mereka ada penyakit, dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 9-10)

Sukar mengenal orang munafik kerana mereka sangat bijak dan licik dalam menyembunyikan sifat itu. Namun, Rasulullah SAW pernah memberi tanda orang munafik melalui sabda Baginda bermaksud:

“Sesiapa yang ada padanya empat sifat dia benar-benar munafik, sesiapa yang ada satu daripadanya bererti dia ada satu sifat munafik. Sehingga dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia dusta, apabila dipercayai dia khianat, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila bertengkar dia melampaui batas.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kebanyakan manusia apabila jasmaninya terkena penyakit ia bergegas berjumpa doktor atau mencari ubat supaya penyakitnya cepat sembuh dan tidak menderita lebih lama. Namun mereka tidak begitu jika rohaninya yang sakit.

Seharusnya perasaan takut juga dirasai apabila rohani dijangkiti penyakit. Kita perlu segera berusaha menyembuhkannya sebelum penyakit itu merebak lebih teruk. Demikian orang beriman akan bertindak segera apabila rohaninya dijangkiti penyakit.

Usaha penyembuhan paling baik ialah bermuhasabah diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang yang cerdik ialah yang memeriksa dirinya, bersedia untuk beramal sebagai bekal untuk mati dan orang yang lemah ialah yang selalu menurutkan keinginannya dan mengharapkan pelbagai angan kepada Allah (SWT).” (Hadis riwayat Tirmizi)

Apabila selalu mengikut telunjuk nafsu, keinginan hati dan melupakan segala suruhan Allah (SWT), tentu seseorang mengalami kerugian besar sama ada di dunia atau akhirat seperti firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan supaya mentaati kebenaran dan saling nasihat-menasihati supaya menjalankan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Penyakit rohani juga boleh diubati melalui taubat dan beristighfar. Bertaubat bermakna sedar dan serta-merta berhenti daripada memiliki sifat mazmumah itu, membencinya dengan sepenuh hati dan tidak mungkin akan mengulanginya.

Firman Allah (SWT) yang bermaksud:

“Dan orang yang apabila telah berbuat kejahatan atau menganiaya diri mereka sendiri, maka mereka ingat kepada Allah (SWT) dan mereka memohon ampun atas dosanya.” (Surah Al-Imran, ayat 135)

Selalu berdoa memohon perlindungan Allah (SWT) apabila diganggu syaitan, boleh mengelak daripada terkena cengkaman penyakit rohani sebagai suruhan Allah (SWT) dalam firman yang bermaksud:

“Dan jika engkau diganggu oleh satu gangguan dari syaitan, maka mohon perlindungan kepada Allah (SWT) kerana sesungguhnya Allah (SWT) itu Maha Mendengar dan Maha Tahu.” (Surah al-Fussilat, ayat 36)

Sebagai mukmin yang selalu ingat kepada-Nya, hendaklah kita menjauhi kemungkaran hati yang bukan saja menyebabkan jiwa dibalut kegelisahan, malah boleh mencetuskan pergaduhan dan memecah belah masyarakat harmoni.

Allah (SWT) berfirman yang bermaksud:

“Orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat mungkar dan melarang berbuat makruf dan mereka menggenggam tangannya. Mereka lupa kepada Allah (SWT), maka Allah (SWT) melupakan mereka. Sesungguhnya orang munafik itulah orang yang fasik.” (Surah at-Taubah, ayat 67)

Oleh itu, dalam mencari kebahagiaan sebenar dan keredaan Allah (SWT), seorang Muslim perlu sentiasa menyuburkan jiwanya dengan sifat mahmudah yang dimiliki junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta sahabat.

Apabila rohani bersih murni, terpancar pada dirinya sahsiah dan akhlak terpuji yang disukai Allah (SWT) malah, sepanjang hidupnya dipenuhi dengan melakukan amalan soleh dan sentiasa menjaga tingkah laku supaya mendapat keredaan Allah (SWT) selain disenangi masyarakat sekeliling.
Oleh Mohd Adid Ab Rahman