Saturday, January 27, 2007

Capsule Penghidupan II- Kami Sahabat Alam

Bersahabat Dengan Alam
Seperti kebanyakkan kampung tradisional lain ramai penduduk kampung kami mencari rezeki dengan bergiat dalam bidang pertanian sungguh pun ramai antara mereka merupakan kakitangn kerajaan peringkat rendah.Nun di hujung kampung terdampang sawah luas terbentang.Di kala musim menuai alangkah seronoknya bermain serunai dari batang padi, membuat dangau dari jerami padi.Miang satu badan bukan halangannya.Begitulah juga ketika musim hujan seronok bukan main menangkap ikan dengan bubu dan tuak,tahan taut umpan katak pastinya disambar sang haruan.Kekadang bukan sang haruan yang tersangkut tapi sebaliknya sang ular yang memburu katak tersangkut pada taut.Kami buangkan sekali dengan taut ke dalam bendang.Di kala musim timur kami sebuk menangkap lintah kerdau di keringkan lalu menjadikannya sebagai "dengung" wau kemetek.

Pada musim tertentu kami secara berkumpulan sebagai satu rombongan pejalan akan kaki pergi memancing ikan di Lubuk Pusing yang letaknya kira-kira 3 km dari kampung kami.Di Lubuk pusing banyak ikan- seperti ikan boung,ikan taelan, ikan selat serta udang galah dan banyak lagi yang kini sudah jarang dapat dilihat.Ketika itu kami tidak akan pulang tangan kosong.

Menangkap dan memelihara ikan laga(anak karin) bukan asing bagi kami. Kami bagaikan pemburu apabila mengintai-ngintai di celah-celah paya hutan pokok nipah.Bila saja ternampak bueh berwarna keperangan alamatnya kami telah bertemu dengan seekor jaguh ikan laga.Bertambah hitam badannya lagi dikatakan jaguh.Tapi apabila bertemu lawan yang lebih gagah hatta anak sepilai sekali pun badan sang jaguh tadi pun bertukar kebelangan menandakan ia hanya jaguh kampung. Menangkapnya amat mudah kerana kami sudah ada kemahiran yang tinggi dalam hal itu.


Sungai Alor Changleh Menyimpan Kenangan
Sebelum adanya Sungai Alor Changleh terdapat sebatang sungai asli yang mengalir di tepi kampung kami.Namun apabila kerajaan menggali Sungai Alor Changleh laluan air ke sungai lama dihala ku Sungai Alor Changleh. Maka fungsi sungai asli terkubur.Kini sungai asal tersebut hanya sebagai "alor" sahaja dan sebahagian daripadanya telah tertimbus.Tinggalan pintu kawalan air ( tandop kecil) masih terdapat di sana.Air di sungai asli ini dahulunya sangat bersih dan jernihnya tiada bandingan.Namun itu semua hanya sejarah.

Pada kami budak-budak kampung Sungai Alor Changleh yang mengalir ke arah Pekan Jitra banyak menyimpan kenangan.Di situlah kami bermandi manda,bermain dan kadangkala mengadakan acara "lawan selam", "lawan lala"dan "lawan mengapai" dan "main kelempong " dan banyak lagi aktiviti yang aku sudah tidak ingat.Mandi sungai ada kelebihannya. Pada pagi hari sebelum kesekolah kami mandi di sungai.Kami mengambil masa beberapa minit termenung kerana kesejokan sebelum telanjang bulat dan "stan" ke dalam air.Itulah boleh dikatakan setiap hari. Walau pun kami tak pernah jumpa sabun mandi namun gigi tetap kami gosok.Kami tiada ubat gigi yang canggih-canggih.Ubat gigi kami cuba serbuk arang kayu api dicampur garam halus dan digosok dengan jadi kelunjuk .Gigi menjadi lebih putih.

Pada musim kemarau sungai ini biasa hampir kering kontang.Kami ambil peluang menangkap ikan yang banyak di kala itu.

Kini air Sungai Alor Changleh tidak sebersih dahulu lagi dan tebing-tebingnya kian longlai.Fungsi sebagai pembekal air bersih sudah tiada lagi.




1 comment:

Anonymous said...

Tahniah kerana memaparkan sekelumit nostalgia yang sukar ditempuhi oleh remaja masakini. Saya berharap saudara akan teruskan blog ini kerana selain nostalgia saya yakin ia dapat menanam rasa kecintaan kita kepada kampung, rakan-rakan serta keluarga yang pernah bersama seronok dan duka dengan kita semasa kecil.
Selain dari itu saya juga berharap blog saudara sebagai satu alternatif bagi blog-blog yang memuatkan dengan isu-isu politik yang memporakporandakan selain blog-blog maki hamun yang tidak menyumbang kearah pembentukan minda serta nilai murni yang kita senantiasa dahagai.